HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

DAP mahu Melayu kaya, lawan monopoli dan jaga hak rakyat

Roketkini.com



SEPANG: Rakyat boleh menilai sejauh mana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) konsisten mempertahankan hak dan kepentingan rakyat apabila kerajaan negeri Selangor menghalang syarikat kroni UMNO-Barisan Nasional (BN), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menaikkan tarif air sebanyak 25 peratus bagi 2012.

Ia jauh berbeza dengan negeri yang ditadbir UMNO-BN, Johor yang tidak mempedulikan kenaikan sehingga 60 peratus tarif air oleh Syarikat Air Johor (SAJ) walaupun negeri itu mempunyai sumber air yang banyak dan mampu mengeksport ke Singapura.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua menegaskan bahawa kerajaan PR komited memperjuang dan mempertahankan hak rakyat berbeza dengan BN yang ‘mempertahankan’ kepentingan kroni mereka.

“Di Selangor bukan saja kerajaan negeri berjaya halang SYABAS menaikkan tarif air tetapi juga berjaya memberi air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada rakyat,” katanya dalam ceramahnya di Sungai Pelek, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Pua, rakyat sudah lama menanggung beban kos sara hidup yang tinggi akibat budaya kronisma yang diamalkan UMNO-BN melalui amalan monopoli dan dasar penswastaan yang tidak pro-rakyat.
“Kami mahu lihat lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang untuk berjaya dalam perniagaan tetapi tidak bagi UMNO-BN.

“Apa yang berlaku sekarang ialah monopoli individu tertentu mengaut keuntungan sekaligus menafikan peluang kekayaan negara untuk rakyat,” jelas beliau.

Katanya, antara contoh terbaik kes monopoli membabitkan kroni UMNO-BN ialah membabitkan jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary seperti monopolinya ke atas syarikat beras, BERNAS yang pada asalnya sebuah syarikat milik kerajaan yang mana diswastakan, tidak termasuk monopolinya dalam syarikat gula MSM.

Sebelum ini, Pua mendedahkan monopoli ‘kawan’ baik UMNO itu juga membabitkan pemilikan lebih 50 peratus saham MMC Corporation Berhad yang mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM24.2 billion, syarikat DRB-Hicom yang menanggung hutang RM5.7 billion termasuk hutang RM3.0 billion untuk memiliki Proton Berhad.

“Mengapa kerajaan BN terus amalkan kronisme iaitu memberi projek besar kepada ‘kawan’ tanpa perlu melalui tender terbuka, serta tanpa mengira sama ada syarikat kroni itu layak, mampu atau berkebolehan?
“Yang menghairankan ialah, mengapa Pelabuhan Pulau Pinang diswastakan kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd milik Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mempunyai sejumlah hutang yang besar.

“Lebih mengejutkan lagi, banyak khabar angin mengatakan Syed Mokhtar juga sedang cuba untuk mendapatkan Pelabuhan Kelang (Northport Holding) dan KTM Berhad,” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berikutan pengesahan Jabatan Perdana Menteri mengenai penswastaan pelabuhan Pulau Pinang.
Pua sebelum ini sering dituduh sebagai ‘anti melihat orang Melayu kaya’ tetapi apa yang diperitikaikan beliau bukan mengenai kekayaan yang dimiliki individu itu tetapi monopoli dan kelayakan yang dimiliki untuk menguruskan perniagaan.

Menjelaskan situasi itu, Pua berkata, kegusaran juga timbul apabila syarikat tertentu yang mendapat subsidi kerajaan mempunyai kepentingan dengan UMNO-BN, bersifat memonopoli walaupun mereka tidak mempunyai rekod kewangan yang baik.

“Kerajaan sepatutnya memastikan agar wang cukai yang dikutip daripada rakyat Malaysia diguna untuk kepentingan seluruh rakyat dan bukan diguna untuk kroni mereka sendiri,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: