HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mac 2013

BN: Manifesto Pakatan akan burukkan fiskal kerajaan

Wartawan Sinar Harian
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
 
PUTRAJAYA - Pelaksanaan manifesto pembangkang bakal meningkatkan defisit fiskal kerajaan persekutuan kepada 11.5 peratus daripada empat peratus yang disasarkan tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini sekali gus akan meningkatkan hutang kerajaan sehingga 62.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan 54.6 peratus sekarang ini.

Lebih parah lagi, kerajaan akan mengalami defisit akaun semasa, kata beliau kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

"Ini bermakna kerajaan perlu meminjam untuk membayar gaji, subsidi, pencen dan hutang negara seterusnya menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah," kata Ahmad Husni.

Beliau berkata kerajaan hari ini telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lepas.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan terus komited untuk terus mengurangkan defisit kepada empat peratus tahun ini dan sekitar tiga peratus pada tahun 2015.

Katanya, kerajaan hari ini hanya meminjam untuk menampung perbelanjaan pembangunan kerana kesan pengganda kepada ekonomi akan memberi jaminan kepada kemakmuran dan seterusnya kesejahteraan rakyat.

"Kita punya pengurusan kewangan, antaranya perlu mengekalkan lebihan operasi. Kita tidak mahu pinjam untuk membayar gaji dan sebagainya dalam perbelanjaan mengurus. Ini merupakan falsafah yang dilaksanakan oleh kerajaan," kata Ahmad Husni.

Jadi berdasarkan manifesto pembangkang, maknanya hasil kerajaan tidak dapat menampung perbelanjaan mengurus yang bertentangan sama sekali dengan konsep perbelanjaan berhemah, katanya. 

Ketika ditanya sama ada kerajaan boleh mengurangkan kadar hutang lebih dari sekarang ini, Ahmad Husni berkata kerajaan sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah dengan menetapkan hutang kerajaan pusat tidak melebihi 55 peratus kepada KDNK.

Katanya kerajaan boleh mengekalkan kadar hutang tidak melebihi 55 peratus sehingga tahun 2020, dibantu oleh pertumbuhan KDNK yang menggalakkan, hasil cukai yang terus meningkat, ditambah pula dengan kadar defisit sentiasa menurun.

"Manifesto pembangkang tidak mempedulikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran ke atas ekonomi negara," katanya.

Pelaksanaan manifesto pembangkang itu hasil dari pengiraan kewangan yang tidak tepat, katanya sambil menambah bahwa ini boleh menyebabkan rencatan dan penguncupan ekonomi seterusnya mendatangkan kesan sistemik.

Kesannya termasuk penarafan negara akan jatuh, jumlah pelaburan langsung asing berkurangan dan kadar pengangguran meningkat dan seterusnya boleh meruntuhkan ekonomi serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU), ada yang kadar penggangguran mencecah 31 peratus, gaji kakitangan kerajaan dipotong sehingga 50 peratus dan peminjam-peminjam perumahan menyaksikan rumah mereka disita akibat gagal membayar pinjaman.

Tiada ulasan: