HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

Nyaris disembelih Jeneral Musa

ZULKHAIRIL ZAINUDDIN & MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

Nyaris disembelih Jeneral Musa
Ajmain
 
 Nyaris disembelih Jeneral Musa

SINAR HARIAN

LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu.

Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup.

"Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang.

Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan.

"Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya.

Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat.

"Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya.

Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa.

“Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit.

“Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan,” katanya.

Tiada ulasan: