HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

DAP bongkar lagi kes daftar pemilih ‘haram’ di Klang

Roketkini.com

 

KLANG: Satu lagi kes daftar pengundi ‘haram’ dibongkar dan kali ini seorang bapa mendapati anaknya yang tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dilakukan oleh seorang Pendaftar UMNO ketika menyemak pendaftaran melalui portal Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pagi ini bersama pengadu dan beberapa peguam.

Menurut Charles, Siva Kumar S Khatiramalai mendapati anaknya Dinesh Siva Kumar, 33, didaftar sebagai pemilih oleh Hishamuddin Kassim setelah beberapa kali membuat aduan kepada SPR sejak 7 Februari lalu sebaik menerima sekeping kad ucapan Hari Malaysia tahun lalu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dia telah menghantar emel ke SPR di Putrajaya dan mereka menyuruhnya membuat aduan kepada SPR Selangor. Bila aduan itu dilakukan dengan meminta nama Penolong Pendaftar yang mendaftar anaknya, SPR hanya memberitahu nombor Penolong Pendaftar itu,” kata Charles.

Katanya, dalam maklum balas melalui emel, SPR menjelaskan perkhidmatan Penolong Pendaftar UMNO, Hishamuddin Kassim sudah ditamatkan pada 27 April tahun lalu kerana melakukan beberapa kesilapan.

Emel yang dihantar melalui salmiyah@spr.gov.my itu turut menyatakan, “Untuk penjelasan lebih lanjut tuan boleh menghubungi Encik Hishamuddin Kassim melalui no telefon 013-3888443”

“Persoalan yang timbul ialah mengapa SPR seolah-olah mahu cuci tangan, sepatutnya SPR membuat satu laporan polis menggesa agar kesalahan mendaftar pemilih tanpa persetujuan itu disiasat.

“Ini jelas menunjukkan penipuan dilakukan secara terang-terang. Laporan polis juga dibuat Siva Kumar pada 31 Januari lalu di Balai Polis Klang dan Minggu depan saya akan ke SPR untuk memaksa mereka memadamkan nama pemilih itu,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Charles mempertikaikan bagaimana Penolong Pendaftar UMNO itu mendapat salinan kad pengenalan dan siapa yang menandatangani Borang A Pendaftaran Pemilih.



“Adakah wujud persekongkolan UMNO dengan pihak Imigresen dan SPR? Kita mendesak satu siasatan menyeluruh diadakan dan mahu SPR mendedahkan nama yang didaftar Penolong Pendaftar UMNO itu kepada umum,” katanya.

Peguam, Mishant Thiruchelvam pula berkata, kes itu mempunyai bukti kukuh berlakunya perlanggaran undang-undang kerana pemalsuan dokumen dan jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua DAPSY Selangor merangkap Ahli Majlis MBPJ, Tiew Wey Keng dan peguam Tan Tai Hwa.-Roketkini.com

Tiada ulasan: