Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau boleh bertanding mana-mana kerusi Dun di Selangor, tapi tidak sebagai calon menteri besar.
“Kebiasaannya calon menteri besar sesebuah negeri perlulah anak kelahiran negeri itu sendiri. Dia lahir kat mana nak jadi Menteri Besar Selangor?
“Lagipun, belum pernah lagi dalam sejarah Malaysia, menteri besar berjantina perempuan dipilih sebagai ketua negeri,” katanya semalam.
Menurutnya, selain seorang lelaki, calon untuk menjadi menteri besar perlulah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Apabila ditanya berkenaan persediaan jentera BN menerima hasrat Wan Azizah untuk bertanding di Selangor, Shukor memberitahu jenteranya langsung tidak gentar dan tidak rasa tergugat dengan kenyataan tersebut.
Shukor berkata, Azizah sebagai Presiden PKR berhak dan layak untuk bertanding di mana-mana kerusi Dun sekali pun atas persetujuan parti.
“Kalau tak cukup dengan Wan Azizah, hantarlah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun, kami tak kisah dan dah sedia.
“Walau siapa dan apa pun yang berlaku menjelang PRU13 nanti, jentera kami telah bersedia menghadapinya,” katanya.
Semalam, Wan Azizah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di Dun Selangor pada PRU13 tetapi kerusi kawasan mana yang bakal ditandinginya masih belum diputuskan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan