HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2013

Selesai cara baik, Pas nasihat PKR dan DAP

Wartawan Sinar Harian
Mahfodz Mohamed
Mahfodz Mohamed
 
SENAI -  Pas Johor menasihatkan PKR dan DAP supaya membuat rundingan bagi mewujudkan ‘situasi menang-menang’ melibatkan perebutan kerusi Dun Johor Jaya.

Ia susulan desas-desus bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang ingin bertanding kerusi itu selain Parlimen Gelang Patah walaupun Dun Johor Jaya merupakan milik PKR selepas Parti Rakyat Malaysia (PRM) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, kerjasama dan tolak ansur penting memandangkan dasar dan matlamat perjuangan Pakatan Rakyat (PR) adalah sama bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU13.

“Saya harap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan perkara ini melalui perbincangan. Kalau sebelum ini kerusi Parlimen Gelang Patah sudah dapat diselesaikan dan pucuk pimpinan telah menyerahkan kerusi tersebut diberikan kepada DAP.

“Jadi tidak salah kalau kerusi Dun Johor Jaya ditandingi oleh calon daripada PKR pula. Ini bermaksud perkara tersebut diambil kira secara ‘win-win situation’. Lagipun pilihan raya sudah semakin dekat ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mahfodz berkata, Pas percaya isu itu juga berkemungkinan sengaja dimainkan dan diperbesarkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan tertentu.

“Saya yakin ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin tanpa berlaku pergaduhan. Pas tidak masuk campur. Mungkin isu ini kecil sahaja, tetapi sengaja ditambah-tambah oleh pihak tertentu.

“Lihat sahaja ceramah pihak pembangkang di Pasir Gudang sengaja disabotaj oleh pihak tertentu. Saya percaya kedua-dua parti sudah matang dan saya minta mereka duduk semeja serta bincang elok-elok.

“Jangan gaduh-gaduh kerana misi kita adalah menumpaskan BN. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian.

Tiada ulasan: