HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

Pekerja Pos Malaysia terima imbuhan RM500, skim insurans

SINAR HARIAN

Perlindungan insurans, imbuhan untuk warga kerja Pos Malaysia
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Pengerusi Pos Malaysia Berhad Datuk Seri Mohd Khamil Jamil bersalaman dengan warga kerja Pos Malaysia Berhad. - Foto Bernama
 
SHAH ALAM -  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 16,191 warga kerja Pos Malaysia Berhad di seluruh negara akan menerima pelan perlindungan insurans untuk diri sendiri dan keluarga selain imbuhan istimewa RM500.
  
Beliau berkata pelan insurans itu menjadi perlindungan jika kakitangan syarikat dan anggota keluarga mereka menghadapi kecemasan.
  
Muhyiddin mengumumkan berita gembira itu ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Warga Kerja Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional di sini.
  
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata imbuhan RM500 untuk setiap warga kerja Pos Malaysia itu akan dibayar bersama gaji bulan April manakala pelan insurans itu membabitkan anggaran kos RM670,000 setahun.
  
"Imbuhan ini ialah tanda penghargaan Pos Malaysia atas usaha gigih warga kerjanya," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima sumbangan RM80,000 yang disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, hasil kutipan warga Pos Malaysia dan Koperasi Pos Nasional Bhd untuk membantu keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Selain itu, beliau menyampaikan komputer Netbook 1Malaysia kepada 12 anak warga Pos Malaysia yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Muhyiddin menarik perhatian sungguhpun peredaran zaman menyaksikan ledakan teknologi seperti yang dicerminkan oleh penggunaan e-mel dan kecanggihan telefon pintar, namun perkhidmatan pos masih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian masyarakat.

Ini termasuk dalam soal penghantaran bungkusan dan dokumen penting.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pimpinan negara melakukan perubahan dan menangani pelbagai isu secara terancang bagi memastikan nasib rakyat terbela dan pendapatan mereka meningkat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prasyarat kepada segala usaha kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan memastikan ekonomi negara terus berkembang ialah keselamatan yang berterusan.

Tiada ulasan: