HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2013

Risalah ‘Kenapa saya mesti tolak Umno BN’ diedar

Harakahdaily,




KUALA LUMPUR: Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) hari ini telah melakukan Speaker Corner penerangan kepada rakyat Malaysia khususnya di kawasan Kuala Lumpur tentang kesedaran mengundi dan menolak Umno BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

“Speaker Corner pada hari ini sengaja kita pilih untuk buat di Masjid Negara untuk mendekati masyarakat dan rakyat menerusi kempen-kempen penerangan demi suatu perubahan dalam pilihanraya umum yang akan datang,” ujar Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Afif Zulkipli.

Katanya, Gelombang Tolak telah dilancarkan pada 15 Mac lalu di Bangunan Umno PWTC dan turut mendapat sokongan moral daripada beberapa NGO termasuk Royalti Kelantan, Anak, Himpunan Hijau Lynas dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan sidang media yang kedua di KLSCAH pada 27 Mac lepas.

Dalam masa yang sama, katanya edaran 1,000 risalah ‘Kenapa Saya Mesti Tolak Umno BN’ berjaya diedarkan kepada masyarakat selepas selesai solat Jumaat di Masjid Negara.

Jelasnya, antara sebab Umno BN mesti ditolak yang terkandung dalam risalah tersebut ialah pengamalan politik lucah dan samseng, kos sara hidup rakyat yang tinggi, pengamalan rasuah dan kronisme dalam negara, menyekat kebebasan akademik unversiti, ketempangan sistem demokrasi dan pilihanraya, penafian hak rakyat seperti royalti rakyat Kelantan dan kegagalan mengangkat martabat kaum wanita.

“Kita harapkan maklumat kempen pada hari ini dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat agar mereka dapat turut bersama dengan kita melakukan perubahan dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya.

Pengerusi Tolak, Mohd Azan Safar pula berkata, untuk program berikutnya, mereka akan mengadakan konvoi berkenderaan sebelum memulakan siri jelajah Tolak Umno BN ke seluruh negara.

“Ini untuk memberikan kesedaran kepada rakyat di peringkat akar umbi di samping mengumpulkan tanda tangan sokongan rakyat untuk menolak Umno BN dalam pilihanraya umum yang akan datang,” jelasnya.

Tiada ulasan: