HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

Bomba Kelantan periksa keselamatan pusat pengundian

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA BARU, — Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (JBPM) akan membuat pemeriksaan kali kedua mengenai aspek keselamatan semua pusat penjumlahan undi di negeri ini sempena pilihan raya umum ke-13. 
 
Pengarahnya Azmi Osman berkata langkah itu diambil bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran yang boleh mengganggu proses pengiraan undi yang akan diadakan di pusat-pusat berkenaan.

"Pada 2012 kita telah membuat pemeriksaan di tempat berkenaan dan pada kali ini kita semak semula untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan sistem dan alat yang berada di pusat mengundi tersebut kerana jarak masa yang lama antara semakan pertama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bulanan jabatan itu di Tunjong di sini, Ahad.

Beliau juga berkata justeru itu, cuti anggota jabatan itu juga akan dibekukan bagi mengelak kekurangan anggota ketika tempoh pilihan raya berlangsung dan pihaknya juga akan menggunakan khidmat bomba sukarela.

"Selain itu, kita juga akan membuat rondaan menggunakan unit motosikal dan utiliti di seluruh negeri bagi pemantauan harian berhubung aspek keselamatan untuk penilaian dan tindakan lanjut," katanya.

"Kita juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan yang lain bagi memastikan semua berjalan lancar, dan akan memastikan setiap kes yang berlaku dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata sebanyak 50 peratus kebakaran hutan tanah gambut seluas kira-kira 40 hektar di Beris Lalang, Bachok yang bermula Jumaat lalu telah dapat dipadamkan oleh kira-kira 50 anggota yang bertugas.

"Namun pihak kami turut menerima halangan berikutan tiupan angin daripada kawasan pantai yang menyebabkan api mudah merebak," katanya.

Beliau berkata kebakaran hutan tanah gambut ini berlaku setiap tahun, terutama pada musim kemarau kerana penduduk yang masih kurang peka dengan tindakan mencegah kebakaran yang boleh mereka amalkan.

Pihaknya juga turut membuat rondaan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti mudah berlaku kebakaran hutan bagi mengelak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penduduk serta menjejaskan alam sekitar, katanya.

"Antara tempat yang sering mengalami kebakaran hutan adalah di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, dan sejak Januri lepas kita terima 34 laporan berhubung kebakaran kecil hutan," katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai kebakaran kepada pihak bomba. — Bernama

Tiada ulasan: