SUNGAI SIPUTc — Gabungan bekas presiden MIC Datuk Seri
S. Samy Vellu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.
Devamany yang kerap dilihat pada masa sekarang menjadi petanda
‘kebangkitan’ semula ‘kuasa’ Barisan Nasional (BN) bagi merampas kerusi
Parlimen Sungai Siput.
Devamany berkata kehadiran Samy Vellu adalah bagi memperkuatkan
kedudukan BN daripada aspek politik manakala peranan beliau terutama
mulai dua bulan lepas adalah melaksanakan pelbagai program bantuan di
bawah jabatan itu untuk rakyat di Sungai Siput.
“Sudah tentu kita berganding bahu di Sungai Siput. Beliau (Samy
Vellu) kini memperkuatkan jentera BN, memantau peti daerah mengundi,
memainkan peranan bagi kesepaduan komponen BN di sini iaitu Umno, MCA,
MIC, Gerakan, PPP dan IPF untuk mereka bekerja ke arah pilihan raya umum
nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengenai cabaran yang akan dihadapi MIC untuk berhadapan dengan
pembangkang dalam pilihan raya umum kelak, Devamany yang juga Naib
Presiden MIC berkata masyarakat pada masa kini mahu melihat perubahan di
depan mata mereka.
Rakyat mahu masalah yang mereka hadapi diselesaikan dengan baik oleh
pemimpin kerana menyedari retorik politik tidak mampu membawa perubahan
kepada mereka, katanya.
“Adakah pembangkang berupaya mengadakan penyampaian yang baik. Adakah
retorik dan demonstrasi jalanan dengan pegang sepanduk boleh membawa
perubahan yang baik untuk masyarakat,” katanya.
Pembangkang dilihat seringkali membawa perkara yang didakwa mereka
sebagai ‘isu’ nasional, sedangkan dalam masa yang sama tidak
menyelesaikan isu setempat yang dekat dengan masyarakat sekali gus
menunjukkan mereka tidak bekerja untuk rakyat, katanya.
Beliau berkata imej kerajaan BN yang dibawa Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak adalah sangat baik dan telah memberi impak kepada parti
berbanding sebelum ini.
“Sekiranya kita berkhidmat dengan sempurna kepada rakyat, kita yakin mereka juga akan membantu kita semula,” katanya.
Pada pilihan raya umum ke-12, Samy Vellu yang mewakili BN dan calon
bebas Nor Rizan Onn tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Dr D.
Jeyakumar yang meraih majoriti 1,821 undi. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan