HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mac 2013

Shuhaimi Baba bentang maklumat palsu tentang Kelantan

M Faqih,

KOTA BHARU: Presiden Pengeluar Filem Malaysia, Datuk Shuhaimi Baba diminta merujuk kepada data sebenar sebelum menghebahkan sesuatu statistik tanpa ada asas tentang Kelantan.

Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim Yusof (gambar) berkata, amat malang sekali seorang penerbit filem tersohor melemparkan tuduhan tanpa ada asas terhadap negeri ini.

“Ada setengah pihak mempunyai sikap amat prejudis kepada rakyat, kerajaan dan negeri Kelantan sehingga setiap yang buruk, mundur dan hina itu ada di Kelantan.

“Akibat sikap itu telah mendorong untuk menabur maklumat yang kononnya berasas fakta dengan harapan memberi keyakinan palsu kepada orang ramai,” katanya di sini.

Ketika menyertai forum Sinar Harian di Shah Alam Selasa lalu, Shuhaimi mendakwa Kelantan memiliki statistik tertinggi di Malaysia berkaitan perceraian, pelacuran dan penagihan dadah.

Malah beliau yang juga pengarah filem dikatakan mempertikai amalan Islam di negeri ini.

Dr Abdul Halim berkata, malangnya fakta dibentang Shuhaimi bertentangan dengan statistik yang ada di JAKIM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya setakat ini belum ada badan yang mengeluarkan statistik jumlah pelacuran kerana profesion itu dilarang di Kelantan.

“Sedangkan kesan polisi Membangun Bersama Islam telah berjaya menjadikan negeri ini lebih tinggi nilai moral dan indeks keamanan.

“Timbul persoalan bagaimana dan di mana beliau membuat kajian ini. Apabila mengatakan filem arahannya ‘Tanda Putera’ hasil kajian dan penyelidikan maka sudah tentu orang ramai mempertikai tahap kajiannya.

“Sekiranya fakta yang beliau gunakan untuk membuat penyataan tentang Kelantan itu menjadi kayu ukur, keupayaannya menghasil filem tersebut juga boleh dipertikai,” ujarnya.

Oleh itu Dr Abdul Halim berharap semua pihak supaya lebih bertanggungjawab di atas kenyataan mereka dan hendaklah berpandu kepada neraca yang berimbangan dan bukannya hawa nafsu.

Menurutnya kenyataan yang menyimpang hanya menjadikan mereka menipu diri sendiri dan menjadi alat kepada permainan politik kotor.

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

Dia pun tak ikut perintah Allah... tak tutp aurat lagi nak cite banyak...