HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2013

Pakatan tawar polisi bersepadu atasi monopoli syarikat bas awam

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menawarkan polisi bersepadu bagi mengimbangi persaingan antara pengusaha bas swasta dan dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana)/Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (Rapid).

Menurut Bendahari Agung KEADILAN, William Leong, polisi itu bertujuan menghapuskan amalan monopoli perkhidmatan pengangkutan awam.

rapidkl1-klialcct-limo taxi booking centre

Katanya, sejak pengangkutan awam terutama bas dimiliknegarakan dan diambil alih Prasarana, separuh daripada 130 syarikat bas terpaksa gulung tikar akibat tidak dapat bersaing dengan syarikat kerajaan.

“Rapid KL, Penang, dan Kuantan yang dimiliki Prasarana menyebabkan pengusaha bas swasta bankrap. Ini berlaku sejak kerajaan mula memiliknegarakan perkhidmatan pengangkutan awam,” kata William pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, William memaklumkan, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali menuntut agar Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menimbang semula perkara itu.

“Tidak adil untuk kerajaan bersaing dengan pengusaha bas, sedangkan Prasarana diberi subsidi sebanyak RM200 juta oleh kerajaan. Dengan sebegini, bagaimana akan ada persaingan yang adil?” kata William.
Tambahnya, sehingga kini SPAD belum respon terhadap tuntutan pengusaha bas.

William menjelaskan, Pakatan akan memberikan polisi yang lebih konsisten, untuk memastikan pengusaha bas sedia ada bekerjasama dengan syarikat GLC.

“Kita akan menyediakan laluan untuk semua perkhidmatan bas berkhidmat kepada rakyat termasuk kawasan luar bandar,” katanya.

“Bukan kita nak hapuskan Prasarana, tetapi kita akan buat dengan cara integrasi dan semua pihak boleh tetap mengaut keuntungan di samping meningkatkan mutu perkhidmatan awam,” jelas beliau lagi.

Sambung William, kerajaan perlu menggunakan kaedah yang lebih baik dalam memiliknegarakan perkhidmatan bas.

“Sepatutnya pampasan diberikan setimpal, bukan menyebabkan kerugian kepada pengusaha bas untuk mengambil alih sesebuah syarikat,” kata William. – NS

Tiada ulasan: