KL TODAY
SHAH
ALAM – Penganalisis bersependapat kemungkinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak akan membiarkan Parlimen terbubar secara automatik
pada 30 April ini dan menggunakan ruang yang ada, yang sesetengah
pihak menyifatkan sebagai “waktu kecederaan” untuk melihat impak
menyeluruh pada hari pengundian.
Pensyarah
Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, kemungkinan
perkara itu berlaku adalah tinggi.
Dalam
situasi sekarang katanya, Najib kini berada dalam keadaan menyiapkan
tugas-tugasnya di peringkat terakhir dan kemungkinan untuk mengumumkan
tarikh keramat itu selepas Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara
Langkawi (Lima 2013).
“Mungkin
selepas Lima 2013 semua tugas beliau (Najib) sudah lengkap. Mungkin
pilihan raya boleh berlaku dalam bulan April ataupun jika Parlimen
bubar secara automatik pada penghujung April, ia akan memberi laluan
kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung pada bulan Mei
depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Ketika
ditanya mengenai implikasi sekiranya Parlimen terbubar sendirinya,
beliau berkata, Najib akan mencipta sejarah dan langkah yang diambil
itu mungkin adalah yang terbaik bagi beliau.
“Kadang-kadang, perjuangan sesuatu parti politik kepuasan hati terhadap tanggungjawab dia sudah ditunaikan ataupun tidak.
“Tetapi
jangan lupa, beliau menggalas tugas ini melalui peralihan kuasa dan
dalam tempoh empat tahun, mungkin beliau merasakan terlalu singkat
untuk penuhi program transformasi yang diperkenalkan sehingga terpaksa
menunggu penggal tamat supaya ia dapat dinikmati kumpulan sasaran,”
katanya lagi.
Sementara
itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis
Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula berpendapat,
dalam keadaan sekarang, semua kemungkinan boleh berlaku dan tarikh
pembubaran masih menjadi teka-teki.
“Sebenarnya,
dari segi amalan perlembagaan, membiarkan Parlimen terbubar sendiri
bukan tidak boleh tetapi ia tidak konsisten dengan amalan itu.
“Kalau
amalan biasa, Perdana Menteri akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong
untuk membubar Parlimen dan sudah diamalkan sejak negara merdeka lagi.
Jadi kalau ia bubar secara automatik, ia lain dari amalan biasa,” jelas
beliau.
Beliau
menambah, ada pandangan yang mengatakan, jika Parlimen dibiarkan
terbubar secara automatik, ia tidak cantik dari segi amalan
perlembagaan.
Namun katanya, pandangan itu bukan pandangan rasmi dan mungkin boleh jadi pandangan majoriti ataupun peribadi.
Bagaimanapun katanya, kemungkinan Najib akan melawan arus atau membuat lain dari lain mungkin mempunyai sebab tersendiri.
“Kalau beliau (Najib) buat begitu, mungkin ada sebabnya yang tersendiri di mana hanya beliau sendiri yang tahu.
“Tinggal
lagi kemungkinan perkara itu akan ataupun tidak akan berlaku. Pilihan
yang ada sekarang adalah, “ya” atau “tidak” sahaja, hanya Tuhan sahaja
yang tahu,” jelasnya.
Mengulas
perkara sama, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Prof
Dr Abdul Rahman Abdul Aziz memberitahu bahawa Najib, yang juga
Pengerusi Barisan Nasional (BN), sudah pasti mempunyai strategi sendiri
dengan memanjangkan masa itu.
Katanya,
langkah melewatkan masa ini kemungkinan untuk menunjukkan cukup tempoh
lima tahun Parlimen dan membuktikan kerajaan sekarang tidak begitu
ghairah untuk menghadapi pilihan raya semata-mata kerana yang penting
ialah memenuhi tuntutan rakyat.
“Fenomena
di Malaysia memang begitu iaitu sejak daripada Perdana Menteri Pertama,
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sampai ke Najib, kerajaan memang
serius apabila membuat sesuatu.
“Kalau
pimpinan terdahulu tidak serius untuk wujudkan solidariti, pembangunan,
kesejahteraan rakyat dan membentuk negara melalui acuannya sendiri,
pastinya Najib juga tidak akan membuat begitu,” katanya.
Katanya lagi bukan soal pilihan raya yang penting sekarang sebaliknya apa ingin dilakukan dan kerajaan wajar lakukan.
Dalam pada
itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula
menyifatkan Najib kemungkinan mahu menggunakan “waktu kecederaan”
dengan sebaik yang mungkin untuk mencari masa yang sesuai bagi memanggil
PRU13.
“Kemungkinan
beliau mahu kesempurnaan dalam mencapai kemenangan… mungkin beliau
merasakan perlu sedikit masa untuk memperoleh dua pertiga kerusi di
Parlimen, mungkin itu hasrat beliau,” kata beliau lagi.
Sehubungan
itu katanya, kemungkinan pendekatan membiarkan pembubaran automatik
menjadi amalan pada pilihan-pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan