HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

Tokoh Ibu Tunggal Besarkan 15 Anak Dengan Jualan Kuih


salbiah tunut ibu mithali permatang 01

TANJUNG KARANG  : Kegigihan dan kesabaran mendidik 15 orang anak sehingga berjaya walaupun kehilangan suaminya, telah mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Semalam Miskanah Harun, 67, dianugerahkan Tokoh Ibu Tunggal Unggul, atas bakti dan jasanya membesarkan anak-anaknya dengan hasil jualan kuih di kawasan sekitar Seri Tiram Jaya di sini.

salbiah tunut hari wanita permatang 02

Miskanah berkata kesusahan membesarkan 15 orang anak setelah suaminya meninggal 26 tahun lepas sangat memeritkan.

“Tuhan sahaja tahu kesusahan hidup yang dialami. Saya berusaha jual kuih muih untuk menampung perbelanjaan keluarga. Kini anak-anak saya semua sudah berjaya,” katanya ketika ditemui.

Selain Miskanah, dua lagi wanita menerima anugerah masing-masing iaitu Tokoh Ibu Mithali, Tusiah Kajar, 63 dan Tokoh Ibu Rumah Tangga, Musirah Dollah, 62.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua PEKAWANIS, Puan Sri Salbiah Tunut. Hadir sama, Penyelaras Dun Permatang, Yahya Sahri.

Menurut Tusiah pula, perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu.

“Saya mempunyai 11 orang anak, kesemua berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Yu.

salbiah tunut hari wanita permatang 03

Turut menerima anugerah ialah Wanita Usaha Tani, Rozita Askur; Wanita Usaha Niaga, Sarimah Salim dan Wanita Usaha Ternak, Salmi Ismail.

Sementara itu, Salbiah menasihati wanita khususnya di luar bandar supaya berusaha meningkatkan pendapatan sebagai suri rumah.

“Sekarang kita ada membuat program Laman Dapur yang mana kita boleh jana pendapatan pertanian.
“Disamping itu kita juga dapat memanfaatkan hasil bumi (tanah) dengan baik,” katanya yang juga isteri kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan suri rumah menjadi usahawan.

Tiada ulasan: