SINAR HARIAN
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR - Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta
satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi
pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata seorang saksi pertemuan yang
diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.
Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia
Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang
boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU13 atau pada
hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai".
Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai
pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu
diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan
raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya
dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".
Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan
Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir
pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia
Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.
"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi
orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar
perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.
Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri
perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden
Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan
selepas PRU13 berjalan secara teratur.
Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada
membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang
tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian
itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.
PRU13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila
memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen. Oleh kerana tidak berpuas
hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan
perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku
penipuan pilihan raya.
Hamid berkata Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu,
"tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian itu."
"Beliau menerima perjanjian itu," kata Hamid dan menambah bahawa Najib
mengotakan janjinya serta menyeru ke arah penyatuan nasional ketika
berucap apabila BN diisytiharkan kembali berkuasa.
"Tindakan Najib ini menepati apa yang telah beliau ucapkan," katanya.
Malah, kata Hamid, sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap
optimistik perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan
mematuhinya. Tetapi, Anwar memungkirinya," kata beliau.
"Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik," katanya.
Berikut adalah soal jawab dengan Hamid:
S: Anwar Ibrahim mendakwa Jusuf Kalla yang
menghubunginya, tapi Jusuf Kalla pula berkata Anwarlah yang
menghubunginya. Mana yang betul?
J: Saya hadir pada perbincangan antara Jusuf Kalla
bersama Anwar dan Najib. Jusuf Kalla hanya memenuhi permintaan Anwar
agar beliau menjadi orang tengah. Beliau tidak memulakan daya usaha ke
arah itu atau menemui Anwar. Jusuf Kalla tidak ada sebarang kepentingan
politik dan ekonomi di Malaysia. Beliau sibuk dengan urusannya mengenai
Indonesia. Jadi, kenapakah beliau perlu mengambil daya usaha itu dan
bertemu dengan Anwar? Ini tidak logik.
Jusuf Kalla menganggap Anwar dan Najib sebagai sahabat baiknya. Beliau
ingin membantu kerana mereka terlibat dalam satu persaingan yang begitu
sengit. Beliau melihatnya begitu.
S: Anwar mendakwa perjanjian itu mengandungi beberapa
prasyarat, contohnya pilihan raya secara bebas dan kebebasan media.
Bolehkah sdr nyatakan apakah prasyaratnya?
J: Saya amat pasti tidak terdapat sebarang prasyarat
yang dibincang antara Jusuf Kalla dan Anwar. Bagi saya, perjanjian tetap
perjanjian dan perjanjian ini dipersetujui kedua-dua pihak – Anwar dan
Najib.
Sesetengah orang akan cuba mencari ruang atau alasan untuk tidak mengotakan janjinya. Perangai manusia memang tidak sama.
S: Sekarang, Anwar mendakwa, oleh kerana Najib tidak
menandatangani perjanjian itu, maka ia tidak sah. Jusuf Kalla berkata PM
memberi persetujuannya secara lisan dan ini menjadikan perjanjian
berkenaan, sah. Siapa yang betul, Anwar atau Jusuf Kalla?
J: Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian
itu. Najib mempunyai sebab yang amat munasabah dari segi politik untuk
tidak menandatangani perjanjian itu dan Anwar memahami serta
menerimanya.
Bagaimanapun, Najib berjanji akan mematuhi perjanjian itu. Beliau
menerima perjanjian itu. Asas akhlak mengajar kita bahawa perkataan
seseorang adalah lebih penting daripada tanda tangannya. Perbuatan juga
adalah lebih penting daripada kata-kata. Najib mengotakan janjinya.
Beliau menyeru ke arah penyatuan nasional ketika menyampaikan ucapan
penerimaan. Tindakan Najib menepati kata-katanya.

S: Pada Hari Mengundi, adakah sdr rasa perjanjian itu
masih terpakai? Adakah berlaku sebarang perkara sebelum Hari Mengundi,
yang boleh menyebabkan perjanjian itu terbatal?
J: Saya amat pasti tiada sebarang perkara berlaku
menjelang Hari Mengundi atau pada Hari Mengundi itu sendiri yang
menyebabkan perjanjian itu terbatal. Ia terus terpakai.
Keadaan berubah selepas Najib diisytihar sebagai pemenang. Malah,
sehari selepas kemenangan Najib, saya masih yakin bahawa janji tetap
janji dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Barangkali, Anwar tidak
mampu mengurus pengikutnya, terutama kerana DAP memenangi lebih banyak
kerusi berbanding parti pimpinannya. Anwar mendapati dirinya berada
dalam kedudukan yang menyulitkan. Tapi, tugas seseorang pemimpin adalah
memimpin, bukan dipimpin.
S: Adakah sdr dan Jusuf Kalla berpendapat Anwar mengingkari perjanjian itu? Jika demikian, apa alasannya?
J: Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat
politik. Mungkin ada perkara yang beliau tidak ingin ucapkan kerana
beliau tidak mahu melukakan hati orang. Saya tak tahu.
S: Adakah sdr rasa Anwar akan ikhlas menerima penyatuan nasional di Malaysia?
J: Saya percaya Anwar mempunyai keikhlasan dan masih berharap beliau memilikinya.
S: Pada pendapat sdr, apakah yang membuat Anwar
bertindak seperti menafikan wujudnya perjanjian itu, enggan menerima
kekalahan dan menganjurkan bantahan di seluruh Malaysia?
J: Sejak mula lagi, Anwar yakin beliau akan memenangi
pilihan raya itu. Setelah berjuang sejak sekian lama, beliau berpendapat
inilah kesudahan bagi perjuangan itu. Anwar berpendapat beliau akan
memenangi pertarungan itu dan mengalahkan Barisan Nasional.
Keyakinan ini diperkukuhkan lagi oleh tinjauan pendapat yang sering
menyebelahinya. Setiap perhimpunan yang Anwar adakan dalam tempoh
berkempen juga menarik ramai hadirin.
Tetapi, kesudahannya, pilihan rakyat merupakan faktor penentu dalam demokrasi.
Anwar percaya beliau akan memenangi pilihan raya itu dan bimbang Najib
akan membantah dan tidak mahu menyerah kuasa. Jadi, beliau mahukan
jaminan senario itu tidak berlaku. Inilah sebabnya beliau mencadangkan
agar perjanjian itu diadakan. -
Bernama