HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2013

KM Sarawak : Mohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang

SINAR HARIAN

Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud
 
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi tiga bulan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Sentosa daripada DAP Chong Chieng Jen untuk memohon maaf kerana mengungkapkan kata-kata berbaur fitnah terhadap beliau.

Taib, yang juga Menteri Kewangan Sarawak dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, berkata beliau akan menimbangkan untuk memfailkan prosiding mahkamah terhadap Chong melainkan beliau menarik balik dakwaan berbaur fitnah dan memohon maaf dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

"Selagi ada anak Sarawak seperti dalam parti pembangkang yang terus rela menjadi alat untuk menyebarkan tuduhan dan dakwaan yang sengaja diperbesar-besarkan, negeri ini berdepan risiko menjadi tunduk kepada penyangak asing yang bakal membawa akibat buruk pada ekonomi, sosial dan politik," katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telahpun memulakan tindakan undang-undang terhadap Chong, yang juga Setiausaha DAP Sarawak, kerana memfitnah berkaitan kata-kata yang diungkapkannya di luar persidangan dewan mengenai sistem belanjawan dan kewangan negeri sehingga menjejaskan dengan teruk reputasi dan integriti sistem kewangannya.

Ketika meminta beliau merenungkan semangat patriotisme Sarawak, Taib berkata menerusi cara politik yang kasar, Adun Kota Sentosa itu bukan sahaja merendahkan darjat institusi dewan yang mulia tetapi juga cuba mewujudkan kesangsian dalam kalangan mereka yang diberi mandat yang sah oleh rakyat untuk memerintah negeri ini.

"Melalui caranya yang berterusan melahirkan hujahnya di luar dan di dalam dewan yang mulia, berdasarkan dakwaan dalam media asing dan digalakkan oleh organisasi  asing, beliau dengan niat jahat cuba untuk mencapai apa yang amat diinginkannya dalam pilihan raya umum -- untuk menukar kerajaan," kata Taib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Meskipun pengundi memberi isyarat tegas dengan menolak apa yang terkandung dalam pita Global Witness, beliau berkata anggota DAP, terutamanya Chong terus merujuk kepadanya seolah-olah pita itu mengandungi perkara yang benar.

Beliau berkata pada Mac tahun ini, hanya sebelum pilihan raya parlimen diadakan baru-baru ini, Global Witness, sebuah pertubuhan berpusat di London yang mempunyai kaitan dengan Bruno Manser Fund dan sebuah yayasan yang dipromosi oleh seorang penyangak matawang antarabangsa yang terkenal, menyiarkan rakaman pita video itu mengenai perbualan antara 'penyiasat' upahan Andrew Stewart, dan beberapa anak Sarawak, termasuk dua sepupu beliau.

Pembangkang, terutamanya DAP menyebarkan pita itu dan kandungannya, yang menyebabkan beberapa individu menyuarakan pendapat mengenai bagaimana tanah untuk pertanian dipindah milik di Sarawak dan rancangan oleh mereka yang didakwa memperoleh tanah seperti itu untuk mengaut keuntungan segera dan
seterusnya mengelak daripada membayar cukai, katanya.

Beliau berkata seorang peguam yang baru lulus sekalipun akan faham bahawa memperoleh keterangan secara tidak sah daripada pihak ketiga yang tidak menaruh sebarang syak wasangka tidak boleh bertahan di hadapan sebuah tribunal kehakiman.

Katanya BN negeri yang diterajuinya menang 25 daripada 31 kerusi, iaitu lebih daripada dua pertiga kerusi parlimen di Sarawak manakala tiga calon pembangkang, yang  gemar membuat tuduhan berkaitan rampasan tanah terhadap kerajaan, kalah teruk di Limbang, Lubok Antu dan Sri Aman. - Bernama

Tiada ulasan: