HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

Tunku Ismail cadang perlawanan Pahang-Johor DT Sabtu ini dimain dalam stadium kosong

THE MALAYSIAN INSIDER
 
JOHOR BAHARU— Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mencadangkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, diadakan tanpa kehadiran penonton.

Tunku Ismail berkata ia perlu demi menjamin keselamatan penyokong Pahang dan Johor DT memandangkan insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Darul Makmur semalam, belum reda.

“Untuk keselamatan tidak payah penyokong kerana kita mahu atasi perkara tidak sepatutnya berlaku. Keselamatan penyokong lebih mustahak,” katanya kepada pemberita di Istana Bukit Pelangi, di sini, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor itu berkata beliau juga akan mengemukakan surat rasmi berhubung cadangan terbabit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Tunku Ismail kekecohan yang berlaku tersebut wajar ditangani segera kerana tidak mahu insiden seumpama itu mencemarkan imej bola sepak negara.

Dalam pada itu, baginda berkata PBNJ akan memasang alat pengesan logam di stadium dalam masa terdekat supaya sebarang senjata tidak terlepas masuk demi menjamin keselamatan penonton.

“Kompang, gendang dan botol minuman juga tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium selepas ini demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: