KUALA LUMPUR, — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membentuk satu
jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.
Jawatankuasa
yang antara lain ditugaskan memantau tahap keselamatan dan kesihatan
tahanan itu akan berkuat kuasa sejurus selepas pelancarannya dalam masa
terdekat, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene.
"Pucuk
pimpinan polis prihatin atas beberapa insiden kematian di lokap polis.
Kami memandang serius perkara ini dan ingin mencegahnya daripada
berulang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di
sini hari ini.
Dua insiden kematian tahanan terbaharu
melibatkan R. Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang Ahad lepas, sehari selepas
ditahan atas kesalahan dadah.
N. Dharmendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas.
Dalam
pada itu, Mortadza menjelaskan polis sebelum ini mewujudkan lima lokap
berpusat selain mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk
memperbaiki keadaan dan layanan untuk tahanan.
Ia terletak di
Ibu Pejabat Polis Daerah Jinjang di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor),
Indera Mahkota (Pahang), Bayan Baru (Pulau Pinang) dan Kota Kinabalu
(Sabah).
Mortadza berkata kesemua lokap itu dilengkapi, antara
lain, dengan kamera litar tertutup (CCTV), sistem interkom, bilik
peguam, bilik mahkamah, bilik kawad cam dan ruang makan.
Beliau
menjelaskan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan membolehkan pegawai
perubatan memeriksa tahap kesihatan tahanan untuk mengelak sebarang
kejadian tidak diingini.
Selain itu, lawatan pihak Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut dianjur dengan kebenaran
pegawai penjaga lokap. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan