KL TODAY
PETALING JAYA:
Orang Melayu akan terus menerajui Barisan Nasional (BN) jika parti itu
menjadi parti tunggal berdasarkan realiti politik di negara ini, kata
pemimpin parti komponen BN. Mereka berpendapat memandangkan Umno
mempunyai keahlian yang paling ramai serta populasi penduduk berbangsa
Melayu di negara ini berjumlah kira-kira 60 peratus, maka orang Melayu
dilihat akan terus mengetuai BN.
Bagaimanapun
mereka percaya jika idea bagi mewujudkan parti tunggal itu
dilaksanakan maka kepimpinan BN perlu mempunyai ‘pemikiran Malaysia’
dan bukannya berasaskan pemikiran bersifat perkauman.
Ketua
Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kemungkinan BN akan terus
dipimpin oleh seorang pemimpin Melayu bukanlah satu kejutan kerana ia
merupakan realiti politik.
Malah katanya pakatan pembangkang juga memilih orang Melayu sebagai ketua.
“Tetapi
kita perlu melihat di luar etnik dan latar belakang pemimpin tersebut.
Beliau sepatutnya menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia dan
berfikir secara terbuka tanpa garisan perkauman. Nilai-nilai teras dan
ideologi pemimpin tersebut perlu fokus untuk keseluruhan rakyat
Malaysia secara semula jadi,” katanya.
Setiausaha
Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik oleh sebuah
portal berita sebagai berkata bahawa parti tunggal BN berkemungkinan
akan diketuai oleh orang Melayu.
Pemangku
Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn bersependapat dengan Dr Wee
bahawa BN akan menjadi parti untuk semua yang diketuai oleh pemimpin
yang akan melindungi kepentingan semua rakyat Malaysia.
Tambah
beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden
Umno adalah orang ‘yang terbaik dan paling layak untuk memikul
tanggungjawab itu.
Sementara
itu Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata,
walaupun BN diketuai oleh pemimpin Melayu, ia tidak bermakna kaum bukan
Melayu tidak diwakili di peringkat kepimpinan tertinggi parti tunggal
itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan