HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

Putrajaya digesa bersihkan sektor kewangan negara, kata Guan Eng

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Putrajaya digesa membersihkan sektor kewangan negara untuk menghentikan jenayah aliran wang  haram, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) ekoran laporan terbaru membabitkan Malaysia dengan skim wang haram terbesar dunia.

Pengurup mata wang haram di Malaysia telah membantu operator pengurup wang antarabangsa yang menjalankan operasi  urusniaga pengubahan wang-haram dalam talian berjumlah US$6 bilion (RM18.3 bilion), pusat kepada pelbagai jenis penjenayah  daripada mencuri identiti kepada pornografi kanak-kanak, menurut laporan New York Times dua hari lalu.

“Masanya telah tiba untuk Kerajaan Persekutuan BN berhenti hidup dalam penafian dengan melaksanakan reformasi kewangan yang  tulen untuk membersihkan dan menghentikan aktiviti jenayah aliran keluar wang haram serta pengubahan wang haram,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mendedahkan laporan terkini oleh Global Financial Integrity (GFI), berpengkalan di Washington yang meletak Malaysia  sebagai antara negara dunia terbesar dalam aliran keluar wang haram bernilai US$291 bilion, akibat daripada rasuah yang berleluasa.

“Namun atas dasar per kapita, China kalah kepada juara dunia Malaysia dengan hanya sekadar RM6,400 seorang setahun berbanding  RM32,000 bagi Malaysia,” kata Ahli Parlimen Bagan, merujuk kepada negara China yang disenaraikan negara yang paling besar aliran keluar wang haram di AS$2.8 trilion.

Ekoran laporan GFI tersebut, Bank Negara telah mempertahankan sistem kewangan, dan berkata urus niaga yang tidak direkodkan  keluar daripada negara ini tidak bermakna ia adalah sama seperti “aliran kewangan haram”, walaubagaimanapun mereka tetapi tidak  menjelaskan perkara tersebut.

Pemimpin pembangkang menyalahkan Barisan Nasional (BN) — yang telah dipilih semula selepas pilihan raya 5 Mei lalu — dan bank  pusat Malaysia bertanggungjawab menyebarkan “budaya rasuah” dan kurang ketelusan kewangan dan akauntabiliti, sebagai  penyumbang kepada reputasi negara yang semakin merosot kebelakangan ini.

“Reputasi antarabangsa Malaysia kini lebih teruk daripada Thailand atau Indonesia  dan hampir sebaris dengan negara seperti Nigeria  dan Rusia dalam hal pengubahan wang haram,” tegas Lim lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya menjalankan kerja dengan lebih telus dan bertanggungjawab ke atas sistem kewangan  negara.

Tiada ulasan: