HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

Khalid mahu bincang proses struktur semula industri air

SINAR HARIAN

Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim 
 
KLANG - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah mengutus surat rasmi kepada Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau Datuk Seri Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air di negeri ini.
  
Beliau berkata langkah itu diharap dapat meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang seperti dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air.
  
"Saya bercadang mengadakan perjumpaan dengan Maximus Ongkili minggu depan bagi membincangkan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengurniaan watikah pelantikan dan mengangkat sumpah Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini, hari ini.
  
Sementara itu,  Abdul Khalid berkata beliau akan memegang portfolio Penerangan dan Adat Melayu negeri Selangor buat sementara waktu dalam usaha memberi penerangan yang jelas berhubung program kerajaan negeri kepada rakyat.
  
Ditanya mengenai desakan Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia A. Prakash yang meminta anggota exco Selangor mengisytihar aset masing-masing, beliau berkata usaha itu memang diamalkan pimpinan kerajaan negeri sejak penggal lepas.  - Bernama

Tiada ulasan: