KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mendedahkan teks dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan kini Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA).Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, jaminan kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung perkara itu tidak mencukupi.
“Jika benar-benar ada pasaran bebas dan kerajaan telus, kita seharusnya dapat melihat draf perjanjian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
(TPPA) adalah perjanjian multilateral yang sedang dirundingkan oleh 12 buah Negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunai, Chile, Japan, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Menurut Mohamed Idris, CAP menimbulkan kebimbangan banyak isu berkaitan TPPA.
Antaranya, kebimbangan Malaysia akan didesak bersetuju dengan peruntukan paten, yang akan menyebabkan kelewatan kemasukan ubatan generik dengan harga berpatutan di pasaran.
Katanya, sesetegah pihak menegaskan harga ubat-ubatan tertentu akan meningkat sebanyak 60% -80% jika TPPA dilaksana, manakala ubat-ubatan berpaten boleh menjadi 1,044% lebih mahal daripada ubat-ubat generik.
Versi ubat-ubatan berpaten untuk merawat HIV/Aids, sebagai contoh, melibatkan kos USD15,000 bagi setiap pesakit setiap tahun. Manakala versi generik kosnya hanya USD67 bagi setiap pesakit setahun.
Menurut Mohamed Idris, satu lagi isu yang menjadi kebimbangan adalah mekanisme penyelesaian pertikaian pelabur-negeri (investor-state dispute settlement – ISDS).
ISDS menjadi kontroversi di seluruh dunia kerana membolehkan pelabur-pelabur asing mencabar tindakan sesebuah kerajaan tuan rumah, walaupun tindakan itu dilakukan demi kepentingan awam seperti kesan kepada kesihatan atau alam sekitar.
“Adakah ini akan membawa kepada eksploitasi tidak beretika sumber asli kita dan apakah kesan kepada kesihatan awam akibat pencemaran dan kemerosotan alam sekitar?
“Sehingga sekarang kerajaan Malaysia masih tidak memaklumkan rundingan atau teks perjanjian. Kebimbangan dan persoalan kami masih kekal tidak terjawab,” ujarnya sambil menambah kebimbangan bahawa TPPA akan memberi implikasi yang besar bagi rakyat Malaysia.
“Kami mendesak Kerajaan Malaysia untuk melakukan perkara yang betul – tarik diri daripada TPPA,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan