HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mei 2013

Utusan: PAS paling rugi PRU13, golongan ‘Anwarinas’ perlu disingkir dalam pemilihan parti

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR – PAS adalah parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang paling rugi dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) dan mereka perlu menyingkir golongan “Anwarinas” daripada parti itu dalam pemilihan parti hujung tahun ini, tulis akhbar berbahasa Melayu milik Umno, Utusan Malaysia.

Dalam kolum pengarang berita Zulkiflee Bakar, beliau mengatakan ternyata tindakan PAS untuk bersama-sama PR menyebabkan sokongan rakyat terhadap mereka berkurangan apabila terlepas penguasaan terhadap negeri Kedah dan kehilangan 10 kerusi Parlimen.

“Pada 2008, PAS boleh mendabik dada apabila bukan sahaja mempertahankan Kelantan tetapi juga menguasai Kedah.

Di kerusi Parlimen pula PAS berjaya memenangi 31 kerusi,” tulis Zulkiflee dalam artikel bertajuk, “Anwarinas rosakkan politik PAS” hari ini.

“Tetapi kejayaan itu tidak kekal lama, sikap PAS yang sering sahaja menafikan bahawa mereka hanya ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang dan semakin meminggirkan suara golongan ulama akhirnya membawa padah. PAS hanya terus bertahan di Kelantan tetapi terlepas Kedah dan kehilangan 10 kerusi Parlimen,” tambah beliau lagi.

Menurut Zulkiflee, golongan yang pro kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau “Anwarinas” yang merosakkan PAS apabila menenggelamkan suara ulama dalam parti yang tidak selesa dengan pakatan bersama DAP dan PKR.

“Memandangkan PAS akan mengadakan pemilihan pada November ini adalah wajar jika ia dijadikan platform terbaik ahli-ahli parti itu melancarkan ‘operasi penggeledahan dan pembersihan’ bagi memastikan kumpulan Anwarinas disingkirkan.

“Ternyata sekali kewujudan kumpulan Anwarinas ini lebih banyak merosakkan PAS berbanding menjadikannya sebagai parti yang dihormati.

“Ahli-ahli PAS tidak ada pilihan, jika mereka mahu melihat parti itu terus dihormati dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, maka pastikan golongan ulama kembali berkuasa dan menjadi dominan,” katanya.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, PR sekali lagi berjaya menafikan majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen apabila mendapat 89 kerusi meningkat tujuh kerusi daripada 82 yang mereka perolehi pada 2008.

DAP mendapat kerusi terbanyak iaitu 38, manakala PKR dan PAS masing-masing mendapat 30 dan 21 kerusi.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tewas kepada BN pada PRU13 termasuk Timbalan Presidennya Mohamed Sabu di Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub di Johor dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.

PRU13 menyaksikan PAS kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Ia sekali gus memperlihatkan kemerosotannya berbanding pada 2008 apabila parti itu kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Genggaman 21 kerusi DUN Kedah oleh PR pada 2008, kini terlepas apabila BN menguasai 22 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRU13 yang menyaksikan kerajaan negeri PAS hanya memerintah sepenggal negeri Jelapang Padi itu.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan PAS hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi.

Tiada ulasan: