Setiausaha BN Lembah Pantai, Datuk Sazali Kamilan yang membuat laporan tersebut mendakwa SPR gagal bertindak terhadap tindakan PKR mendirikan pondok panas berhampiran pusat pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan SJK (T) Saraswathy.
Sedangkan, SPR mengarahkan bendera dan poster BN diturunkan walaupun ia mematuhi peraturan pilihan raya semata-mata kerana ia dipasang berhampiran balai polis Bukit Travers, katanya.
"Jadi saya berharap polis dapat menyiasat amalan pilih kasih ini," kata Sazali ringkas kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di balai polis Jalan Pantai Baharu petang ini.
Beliau turut ditemani calon BN untuk kerusi Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang turut membuat laporan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Sehari sebelum pilihan raya, Nurul membangkitkan dakwaan berhubung peranan Nong Chik dalam satu urusniaga tanah bernilai tinggi, seluas 12 ekar.
Beliau mendakwa, tanah itu dipindahkan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Yayasan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Raja Nong Chik akhir tahun lepas.
Dakwanya lagi, ia kemudian diberikan kepada syarikat persendirian, yang kemudiannya menjualnya kepada syarikat pembangunan hartanah terkenal dengan nilai RM475 juta.
Urusniaga tersebut, dakwa Nurul, akan dimuktamadkan selepas pilihan raya berakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan