HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

Dr M, Daim penentu debat masa depan Najib, kata wartawan veteran

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR— Sebarang perdebatan mengenai masa depan Datuk Seri Najib Razak akan ditentukan oleh bekas perdana menteri paling lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dan Tun Daim Zainuddin, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Menurut Kadir lagi, Dr Mahathir dan Daim telah bertemu di Putrajaya beberapa hari selepas pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal mendapatkan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen.

“Dr Mahathir, Daim dan beberapa blogger bebas akan menjadi penentu sama ada masa depan Mohd Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri akan diperdebatkan secara terbuka,” kata bekas ketua pengarang kumpulan News Strait Times Press semasa era pentadbiran Dr Mahathir dalam tulisan di blognya yang bertajuk, “Kesan Positif Sekatan dan Imbangan Selepas PRU13” hari ini.

“Daim telah menemui Dr Mahathir di Putrajaya beberapa hari selepas PRU 5 Mei di mana mereka dikatakan telah membuat “review” keputusannya serta tindakan jangka pendek dan sederhana yang akan mereka lakukan,” tambah beliau lagi.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi terpaksa meletakkan jawatan setahun selepas Pilihan Raya 2008 apabila BN buat pertama kalinya hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan lima negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Kadir turut mengatakan para petugas yang mengendalikan “Bilik Perang” (War Room) BN perlu mengakui secara ikhlas, terbuka dan telus bahawa cakap besar mereka telah memakan diri dan kalah kepada Abdullah dan budak-budak tingkat empatnya.

“Apa-apa pun, Abdullah kini boleh mengangkat tinggi kepala kerana tuduhan bahawa prestasi beliau dalam PRU 2008 hambar tidak lagi tepat sebab pencapaian Mohd Najib lebih teruk walaupun disokong oleh Dr Mahathir dan Daim.

“Melihat kepada pencapaian Mohd Najib, saya sendiri berasa terlebih mengkritik Abdullah selepas PRU 2008,” katanya.

Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno itu turut mengakui, rakyat Malaysia kini sudah tidak mahu lagi kerajaan yang membolot kerana sudah merasakan kebaikan sekatan dan imbangan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pembahagian semula kuasa sedang berlaku. Keengganan majistret merestui permohonan polis untuk menahan reman tiga ahli dan aktivis politik pembangkang, iaitu Chua Tian Chang aka Tian Chua, Tamrin Abdul Ghafar dan Haris Ibrahim adalah contoh pembahagian semula kuasa itu.

“Lagipun, dengan semakin banyaknya kes kematian ketika reman, Ketua Polis Negara baru, (Tan Sri) Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri yang baru, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi wajiblah lebih berhati-hati menggunakan kuasa reman,” katanya.

Chua, Tamrin dan Haris didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semalam bersama-sama dengan Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa Safwan Anang.

Kesemua mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 5,000. Bagaimanapun Safwan menolak untuk dijamin dan sekarang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.

Sebelum itu, Adam Adli Abdul Halim didakwa di bawah akta sama dan akan dibicarakan dengan kelima-lima pada 2 Julai akan datang.

Dalam Pilihan Raya 2013, BN yang berkempen untuk menjaga keselamatan dan keamanan, kalah tujuh lagi kerusi Parlimen dan 71 kerusi DUN kepada PR.

BN dan PR menang 133 dan 89 kerusi Parlimen, termasuk 275 dan 230 kerusi DUN dalam Pilihan Raya 2013.

Walau bagaimanapun, Umno berjaya meningkatkan penguasaan kerusi Parlimen mereka dari 79 pada 2008 kepada 88 pada pilihan raya 5 Mei lalu.

Terdapat hampir 2.5 juta pengundi kali pertama daripada 13.3 juta pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan peratusan keluar mengundi lebih 85 peratus, paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Tiada ulasan: