HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2013

Kebimbangan kematian dalam tahanan ke-7 pada 2013

MALAYSIA KINI


 
Suaram Pulau Pinang menyuarakan kebimbangannya berhubung satu lagi kes kematian dalam tahanan polis yang berlaku kurang daripada tujuh hari selepas kematian N Dharmendran pada 21 Mei.

NGO itu berkata di Pulau Pinang, kematian suspek penagih dadah, R Jamesh Ramesh menambah satu lagi angka dalam statistik kes kematian dalam tahanan, sambil menambah ia bimbang dengan kenaikan mendadak kes kematian seumpama itu.

Ia mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengambil tanggungjawab di atas kematian itu dan mengumumkan kepada orang ramai bila dan
apakah tindakan yang akan diambil terhadap anggota yang bertanggungjawab menjaga Jamesh.

Menurut NGO itu, pada tahun 2012, terdapat sembilan kes kematian dalam tahanan polis, dan dalam masa kurang daripada setengah tahun, enam kes telah dilaporkan, menjadikan Jamesh, kematian ketujuh pada 2013 sahaja.

"Ini hanya kes yang dilaporkan," kata Suaram Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Pada hari Sabtu, Jamesh, seorang lelaki penganggur berusia 40 tahun, ditahan anggota Jabatan Narkotik di sebuah dewan orang ramai di Patani Road kerana didakwa mengambil dadah.

Pada keesokan harinya, dia telah dihantar ke lokap pada kira-kira jam 4 petang selepas ujian air kencingnya didapati positif mengandungi morfin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata, suspek "telah dilihat berada dalam keadaan biasa oleh tahanan yang lain di dalam sel pada malam yang sama."

Dia disahkan meninggal dunia dua 19 jam kemudian.

Dia ditemui tidak sedarkan diri pagi itu oleh anggota polis, dan kemudiannya diisytiharkan meninggal dunia akibat kegagalan hati.

Suaram Pulau Pinang menggesa ahli keluarga si mati untuk tampil memberi maklumat.

NGO itu mahu polis menyiasat segala hal berkaitan kematian Jamesh dengan mendedahkan jurnal harian yang disimpan oleh anggota yang menjaga mangsa semasa penahanannya.

Tiada ulasan: