Kriteria untuk menetapkan pemenangnya kurang jelas, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan tahap ketelusan Petroliam Nasional (Petronas) menganugerahkan kontrak kepada syarikat kroni bagi projek pembangunan medan minyak bersaiz kecil.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Petronas baru-baru ini memperkenalkan satu konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan minyak bersaiz kecil yang dipanggil Risk Service Contract (RSC).
Dzulkefly mendakwa, pada pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria untuk menetapkan pemenangnya kurang jelas apabila kontrak itu masih lagi bakal dianugerahkan kepada syarikat kroni yang sama seperti SapuraKencana, Dialog, Petra, dan Scomi.
Manakala di kalangan syarikat antarabangsa pula, kontrak sering dibolot oleh Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean, kesemuanya diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas.
“PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyak Bubu di perairan Terengganu dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat kroni yang sama.
“Apa yang lebih mendukacitakan untuk pusingan ini tiada tender terbuka dibuat dan kontrak bakal diberi secara rundingan terus,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat itu mendakwa, keadaan ini sekaligus menyekat peluang kontraktor tempatan sama ada milik Bumiputera atau bukan Bumiputera.
“Petronas sedang mengalami simptom-simptom yang sama seperti yang pernah dialami oleh syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina di zaman Suharto.
“Pada ketika itu, Pertamina disalahgunakan oleh diktator berkenaan serta kroninya sehingga syarikat tersebut hampir lumpuh.
“Ironinya kita memandang sinis Pertamina tetapi hakikatnya syarikat minyak kita sendiri sedang berhadapan dengan liku-liku rumit yang pernah dilalui Petamina 15-20 tahun yang lalu.
Campur tangan politik
“Akibat campur tangan politik serta ketiadaan pengurusan tertinggi yang berwibawa, Petronas kini seolah-olah hilang arah dan menuju ke situasi yang pernah ditempuhi Pertamina dulu,” jelasnya.
Buktinya, beliau mengemukakan laporan Revenue Watch Institute (RWI) meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara.
Berdasarkan jumlah 46% markah semasa yang diperolehi, kedudukan itu dilihat merosot jika dibandingkan pada tahun 2010 dengan markah 48.4%.
Laporan Tahunan 2013 yang diterbitkan bulan lalu meletakkan kedudukan Malaysia jauh lebih rendah daripada Timor Leste (13) Filipina (23), Indonesia (14) selain Mongolia (26).
RWI, sebuah institut kajian dasar yang mempromosikan tata kelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggungjawab menilai perkara tersebut berdasarkan empat kriteria utama.
Kriteria terbabit adalah penetapan undang-undang dan institusi, amalan laporan, ciri-ciri keselamatan dan kualiti kawalan, serta persekitaran yang sesuai.
“Tatakelola serta pengurusan sumber minyak dan gas di Malaysia dikategorikan RWI sebagai lemah dan kurang telus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu audit menyeluruh diadakan segera terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus tadbir Petronas.
Satu kajian untuk meminimakan birokrasi dan proses dalaman Petronas juga perlu dilaksanakan segera untuk meningkatkan semula daya saing Petronas serta kepercayaan rakyat kepada syarikat minyak negara ini, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan