HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

PAS: Siasat 3 MB, KM Sabah Sarawak


 
KL TODAY

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang juga bekas Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M) terus membuka kertas siasatan terhadap tiga Menteri Besar dan dua Ketua Menteri yang sebelum ini terpalit dalam skandal rasuah.

Tiga Menteri Besar yang dimaksudkan itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Khaled Nordin (Johor), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Tan Sri Taib Mahmud (Sarawak).


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun nama mereka terbabit ‘dibersihkan’ daripada sebarang dakwaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) namun persepsi itu masih wujud.

Menurut Dzulkefly, Najib dan Paul perlu mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terus menyiasat pemimpin terbabit demi komitmen untuk memperbaiki persepsi umum terhadap prestasi indeks rasuah negara.

“Kalaulah siasatan itu menemui bukti yang dapat membebaskan mereka daripada tuduhan itu kita minta SPRM supaya nama mereka dipertahankan dan tuduhan disangkal.

“Kalau tidak maka persepsi akan berterusan dan jadi buruk kerana rakyat tak dapat terima kepimpinan ketua negeri seperti ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Musa Aman sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah balak RM40 juta dan mendapat perhatian Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC).


Begitu juga dengan Ahmad Said yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah pengurusan balak, namun beliau menafikannya dan bersumpah tidak melakukan perbuatan itu dalam satu Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM pada bulan lalu.

SPRM sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU13 untuk tapisan.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffar berkata ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya.

Tiada ulasan: