Nasionalisme ialah semangat kebangsaan. Ia berhubungan dengan bangsa.
Yakni semangat cinta kepada bangsa sendiri. Manakala patriotisme pula
ialah semangat cintakan tanahair, iaitu berhubungan dengan tanahair (negara).
Dalam pelajaran sejarah di sekolah kita belajar mengenai sejarah kebangkitan semangat nasionalisme (atau semangat kebangsaan), yang kita anggap sebagai bermulanya perjuangan kita menuntut kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah.
Jadinya terdapat nilai yang kita sanjung tinggi dan kita muliakan di dalam istilah nasionalisme atau semangat kebangsaan itu. Sering juga kita menghubungkan istilah nasionalisme dengan istilah jatidiri. Seseorang yang tidak mempunyai semangat nasionalisme biasanya dia juga tidak mempunyai jatidiri; atau sebaliknya seseorang yang tidak mempunyai jatidiri itu dikatakan dia juga tidak mempunyai semangat nasionalisme.
Demikianlah nasionalisme atau semangat kebangsaan itu sudah tertanam di
dalam jiwa dan minda kita sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan
disanjung tinggi. Maka tidak hairanlah apabila dikatakan bahawa
kebanyakan orang Melayu yang masih percaya atau menyokong Umno adalah
disebabkan oleh semangat nasionalisme dan percayakan bahawa jatidiri
mereka adalah berhubungkait dengan nasionalisme itu; yang tanpanya
mereka akan kehilangan nilai yang mulia dan disanjung tinggi.
Itulah juga sebabnya maka kebanyakan golongan penulis, sasterawan,
budayawan dan cendekiawan kita masih berpihak kepada Umno-BN dan tidak
menyokong Pakatan Rakyat (PR). Inilah rumusan beberapa orang ahli Gatera
(Gerakan Intelektual Rakyat) secara tidak rasmi sewaktu kami
bercakap-cakap di malam ceramah ‘Gerakan Intelektual Rakyat’ di Sungai
Merab Luar, Sepang, 3 Mei lalu. Antara yang menimbulkan pandangan ini
ialah Prof Shaharir Mohd Zain.
Memang, apabila difikirkan dan direnungkan pandangan tersebut, ternyata
ada kebenarannya. Itulah yang menyebabkan ramai kawan-kawan kita ‘di
sebelah sana’ itu masih kukuh dengan pegangan dan pendirian mereka.
Kita bertanya apakah mereka tidak nampak kejahatan dan kezaliman para
penguasa Umno-BN, sepertimana yang kita nampak. Yang sebenarnya bukan
mereka tidak nampak. Yang sebenarnya mereka ada faktor lain yang lebih
penting, iaitulah faktor nasionalisme dan jatidiri, yang dihubungkan
pula dengan ‘ketuanan Melayu’. Faham yang membentuk sikap ini begitu
kuat di kalangan mereka, hingga kejahatan dan kezaliman para penguasa
Umno itupun menjadi kecil pada pandangan mereka.
Memang nasionalisme dan faham atau semangat kebangsaan itu sudah kuat
tertanam dalam jiwa dan minda orang Melayu. Saya sendiri pun pernah
mengalaminya, hingga pernah saya menganggap Tok Guru Nik Aziz tidak
faham makna nasionalisme/kebangsaan apabila beliau berkata Umno menolak
Islam apabila Umno berpegang dengan faham nasionalisme/ kebangsaan.
(Rujuk artikel “Nik Aziz tak faham makna ‘kebangsaan’?” dalam buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan, hal.93-96).
Apabila Prof Shaharir dan kawan-kawan seolah-olah membuat rumusan
seperti disebut di atas, saya pun teringat kepada hujah TG Nik Aziz yang
menolak faham kebangsaan/ nasionalisme itu. Dan setahu saya hanya TG
Nik Aziz sahaja yang pernah bercakap dan berhujah begitu. Dan dia
mengulangi hujah tersebut berkali-kali, hingga dia pernah juga
mengatakan Umno sebagai ajaran sesat (bagi memahamkan orang akan
maksudnya itu).
Sekarang siapakah yang mampu berhujah kepada orang Melayu yang masih
kuat berpegang kepada faham kebangsaan/nasionalisme (juga faham jatidiri
dan ketuanan Melayu) hingga tidak nampak kejahatan dan kezaliman para
penguasa Umno itu, termasuk kebanyakan golongan penulis, sasterawan,
budayawan dan cendekiawan kita ‘di sebelah sana’ itu? Atau apakah kita
masih bergantung harap pada Tok Guru Nik Aziz juga untuk melakukannya?
Saya timbulkan soalan ini bukannya kerana apa, kerana memikirkan bahawa
perkara ini adalah suatu perkara yang besar, berat dan rumit untuk
dilakukan. Anda fikirkanlah! Seperti saya sebut tadi, perkara
nasionalisme dan faham kebangsaan ini telah tertanam kuat di dalam jiwa
dan minda orang Melayu sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan di
sanjung tinggi. Tiba-tiba kita hendak minta supaya perkara ini
dikesampingkan, dengan hujah bahawa ia tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Bukankah selama ini kita beranggapan bahawa Islam dan faham kebangsaan
(nasionalisme) itu tidak bercanggah, dan boleh wujud bergandingan dalam
diri seseorang? Apa salahnya seorang Islam mempunyai semangat cintakan
bangsanya?
Memang rumit untuk menghujahkan hal tersebut. Seseorang harus terlebih
dahulu dapat menghayati dan mencintai Islam lebih daripada segalanya,
maka barulah dia boleh berhujah seperti yang dihujahkan TG Nik Aziz itu.
Tidak hairanlah, sekian lama kita mendengar TG Nik Aziz berhujah supaya
orang Melayu meninggalkan nasionalisme/kebangsaan dan mengambil Islam
sepenuhnya sebagai addeen atau cara hidup yang sempurna; tetapi kita tidak pernah mendengar tokoh pimpinan lain berhujah demikian.
Memang tidak mudah untuk menolak sesuatu yang sekian lama tertanam di
jiwa dan minda sebagai bernilai mulia dan disanjung tinggi dalam
masyarakat. Tetapi itulah yang diusahakan oleh TG Nik Aziz sekian lama.
Mungkin tidak ramai orang menyedarinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan