HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2013

Tidak perlu tubuh IPCMC, kata Paul Low

TERKINI
Oleh Md Izwan dan Ida Lim

KUALA LUMPUR— Datuk Paul Low hari ini menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak diperlukan memandangkan sebarang aduan boleh dibuat menerusi saluran lain yang sudah tersedia.

Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tersebut hadir selepas pemimpin pembangkang menggesa supaya penubuhan IPCMC disegerakan, terutamanya selepas kematian dalam tahanan terbaru N. Dharmendran.

"Tidak perlu, kita sudah mempunyai saluran untuk orang ramai buat aduan.

"Penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa adalah sebenarnya IPCMC," kata Low (gambar) semasa menjawab pertanyaan wartawan tentang cadangan oleh Majlis Peguam yang menggesa penubuhan IPCMC dan Mahkamah Koroner semalam.

Menurut Low lagi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) berperanan sama dengan dengan IPCMC dimana sebarang aduan yang berkepentingan awam akan memerlukan satu proses siasatan yang bebas.

"Dalam terma rujukan, mereka mempunyai seksyen yang memperuntukkan dimana sebarang perkara yang melibatkan kepentingan awam, mereka akan menjalankan atau memulakan satu penilaian bebas.

"Prosedur dan penilaian tersebut adalah daripada segi untuk melindungi dan menjaga keselamatan tahanan," terang Low lagi.

Semalam, Presiden Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong dilapor The Malaysian Insider menyatakan kebimbangan terhadap jumlah kematian dalam tahanan yang dikatakan berlaku sekali setiap bulan sejak tahun 2000 serta menggesa Putrajaya menubuhkan IPCMC dan juga Mahkamah Koroner. 
 
"Statistik melibatkan kematian dalam tahanan polis di Malaysia adalah mengerikan: 156 orang mati dalam tahanan polis antara tahun 2000 dan Februari 2011, dan telah dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya enam kematian pada tahun 2012, dengan kes terbaru ini adalah yang kelima pada 2013.

"Data ini adalah membimbangkan, kerana ia menunjukkan purata sekurang-kurangnya satu kematian dalam tahanan polis setiap sebulan sejak tahun 2000," kata Leong dalam satu kenyataan semalam.

Hari ini juga, pemimpin DAP Gobind Singh Deo menyatakan pandangan sama dan mahu kerajaan melaksanakan penubuhan badan bebas menyiasat tingkah laku anggota polis, serta memberi hujah Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) yang dipengerusikan oleh mantan ketua hakim negara, Tun Mohamed Dzaidin pada 2005 juga mencadangkan IPCMC ditubuhkan.

Walaubagaimanapun, Low mengakui kelemahan dalam EAIC terutamanya dalam mengendalikan aduan yang dibuat serta pihaknya akan meneliti mekanisma untuk menangani permasalahan tersebut.

"Satu perkara yang jelas bagi kami, saya rasa kepada siapa aduan itu harus dibuat ianya tidak jelas... maksudnya, saluran yang dipercayai untuk membuat aduan.

"Jadi, itu adalah satu perkara yang hilang dalam negara kita, dimana kita sepatutnya ada satu saluran khusus untuk membuat aduan. Ia lebih baik untuk memiliki satu saluran yang disatukan... ia perkara yang akan saya teliti," tambah Low lagi.

Isnin lepas, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dilaporkan berkata EAIC telah sangat "merugikan", dengan hanya satu tindakan tatatertib yang diambil sejak penubuhannya.

Bekas hakim tertinggi itu juga berkata EAIC menerima 347 aduan, dengan 110 itu ditolak, manakala sembilan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 4 kes kepada badan-badan tatatertib yang berkaitan, manakala 149 memerlukan lebih banyak siasatan. Hanya 60 daripada 347 kes dirujuk untuk penyiasatan penuh.

Daripada 60 kes yang dihantar untuk siasatan penuh, hanya satu kes telah dirujuk kepada badan disiplin pasukan polis manakala dua yang lain telah ditutup atas alasan ancaman berganda, lapor akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Selasa lepas.

"Perkara pokok disini ialah sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2012, hanya satu tindakan tatatertib dan dua amaran telah dibuat. Untuk perbelanjaan sebanyak RM14 juta untuk tempoh dua tahun, mereka sebenarnya sangat merugikan," kata Abdul Hamid dipetik berkata dalam The Star.

Pada forum yang sama Isnin lepas, Abdul Hamid berkata EAIC masih belum menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan penuh seperti yang dikehendaki oleh Akta EAIC 2009.

Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lima lagi kes berlaku pada tahun ini.

Pemergian Dharmendran adalah sebahagian daripada kes kematian membabitkan pihak polis, kes-kes lain yang mendapat tumpuan antaranya ialah Chang Chin Te awal tahun ini, A. Kugan dan R. Gunasegaran pada 2009, pembunuhan pelajar sekolah berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah pada 2010, dan pelbagai kes tembakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, "seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa".

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik daripada kedua-dua belah tanpa mengira jurang perbezaan juga menggesa pelaksanaan IPCMC bertujuan pembaharuan dalam pasukan polis sejak 2006.

Tiada ulasan: