HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mei 2013

Angkat sumpah Exco Selangor paling lama dalam sejarah

RUWAIDA MD ZAIN & JANATUL FIRDAUS YAACOB

Angkat sumpah Exco
Abdul Khalid terpaksa mengambil tempoh lebih 20 hari untuk membentuk barisan Exco baru berikutan pelbagai perkara berbangkit.
 
SHAH ALAM – Pemilihan dan pelantikan Exco Selangor penggal 2013-2018 mencatat sejarah tersendiri dalam tempoh empat penggal memandangkan proses tersebut memakan masa lebih 20 hari bagi parti yang memenangi pilihan raya umum sejak PRU10 pada 1999.

Ramai pemerhati politik melihat situasi ini berlaku mungkin disebabkan sesetengah pemimpin PR yang memenangi PRU13 tidak berpuas hati dengan keputusan atau cadangan kerana tidak berpihak kepada mereka.

Maklumat dalaman parti memberitahu Sinar Harian, pertikaian berhubung perebutan kerusi Exco menjadi punca utama, kerana masing-masing PKR, DAP dan Pas mempunyai pendirian berbeza berhubung perkara tersebut.

Walaupun ketiga-tiganya merupakan rakan dalam PR tetapi masing-masing enggan mengalah dan cuba mempertahankan kerusi Exco yang mewakili parti mereka ketika pelantikan pada 2008.

Sehingga hari ini, masih ada pemimpin dan ahli parti dalam PR Selangor datang menemui Sinar Harian melahirkan kekecewaan kerana rakan atau pemimpin kesayangan mereka tidak terpilih sebagai Exco walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan Istiadat Pelantikan Exco Selangor semalam.

Pada 29 November 1999, Barisan Nasional (BN) Selangor yang memenangi PRU10 hanya mengambil masa empat hari bagi menentukan calon Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri.

Istiadat mengangkat sumpah Exco pada 3 Disember 1999 itu serentak dengan Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Sultan Sharafuddin ketika itu merupakan Pemangku Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan di Istana Alam Shah.

Bagi PRU11 pada 21 Mac 2004, tempoh 11 hari digunakan dalam proses pemilihan, pencalonan, cadangan, pelantikan serta angkat sumpah barisan Exco termasuk

Menteri Besar baru, Dr Mohamad Khir Toyo pada 1 April 2004.

Pada penggal itu juga, pelantikan Pembantu Exco diumumkan sebagai usaha meringankan beban tugas Exco terutama dalam usaha mendapatkan maklumat terperinci di peringkat akar umbi.

Pembantu Exco dalam kalangan wakil rakyat itu diberikan elaun khas dan pejabat berhampiran pejabat Exco tetapi akan berkongsi kakitangan sokongan.

Manakala PRU12, pada 8 Mac 2008, buat pertama kali pembangkang Malaysia, PR memenangi pilihan raya umum di Selangor dengan penampilan sulung Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pada ketika itu, PR Selangor mengambil masa selama 16 hari untuk membuat keputusan berhubung pemilihan tersebut, bagaimanapun Abdul Khalid dipilih sebagai Menteri Besar beberapa hari sebelum PRU12.

Tiada ulasan: