KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Keengganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) membuktikan mereka tidak mempunyai kemahuan untuk membendung keganasan polis.“Hakikat kerajaan enggan melaksanakan IPCMC membuktikan mereka tidak mempunyai sebarang kemahuan politik untuk membendung keterlaluan polis walaupun kematian dalam tahanan semakin meningkat.
“Kita amat terkejut kerana kerajaan secara terbuka menolak penubuhan IPCMC, sedangkan Laporan Suruhanjaya Polis 2005 sendiri mencadangkan penubuhan tersebut,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Ahli Parlimen Padang Serai itu mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mengatakan tidak ada keperluan bagi penubuhan IPCMC kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sudah mencukupi.
“EAIC tidak mempunyai kuasa lain untuk mengambil tindakan berkesan dalam kes salah laku polis.
“Ia hanya ada kuasa untuk membuat cadangan kepada organ tatatertib polis atau Pendakwa Raya,” jelasnya.
Tambahnya, ketiadaan sebuah badan pengawasan bebas seperti IPCMC menjadi punca langsung peningkatan bilangan kematian dalam tahanan polis.
“Datuk Seri Najib Razak perlu menjadikan keselamatan awam sebagai keutamaan pentadbiran beliau. Segera jadualkan rang undang-undang untuk pembentukan IPCMC dalam sesi Parlimen yang akan datang,” tegasnya
.
Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.
Terbaru, kematian N Dharmendran akibat dipukul dan diseksa dengan kejam menggunakan stapler dan disahkan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur.
Namun sehingga hari ini tiada anggota polis yang didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan