HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Jun 2013

Selangor buktikan misi pemberdayaan wanita berjaya – Rodziah

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM : Perlantikan 100 peratus wanita KEADILAN sebagai Exco Selangor menunjukkan komitmen untuk menjayakan misi pemberdayan wanita Malaysia terutama dalam bidang legislatif, politik dan pembuat keputusan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail menyifatkan ia bukan satu kebetulan atau tanpa perancangan oleh kerajaan negeri.

Ini kerana katanya, Agenda Pemberdayaan Wanita sebenarnya telah diutarakan dan diterima dalam Kongres Wanita Nasional KEADILAN sejak 25 Mei 2007 lagi.

Dasar itu, katanya telah diterjemahkan sebaik Pakatan Rakyat, yang diterajui KEADILAN mengambilalih pentadbiran negeri Selangor dengan 40 peratus  barisan Exco dan Timbalan Speaker adalah wanita pada 2008.

“KEADILAN adalah parti pertama di Malaysia yang meletakkan peraturan minimum 30 peratus wanita dalam kedudukan kepimpinan di semua peringkat parti dalam Kongres Khasnya pada 13 Jun 2009,” ujar Rodziah yang juga  Timbalan Ketua Wanita KEADILAN dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, misi pemberdayaan wanita Malaysia akan diteruskan menerusi mekanisme atau model yang diluluskan kerajaan negeri.

Antaranya adalah Pusat Wanita Berdaya (PWB), di mana pemberdayaan dalam bidang politik dan pembuat keputusan menjadi antara agenda utamanya.

Beberapa usaha lain termasuk memberi laluan kepada wanita menduduki posisi dalam barisan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua kampung.

Ia katanya, adalah sebahagian usaha agar wanita lebih bersedia menjawat kedudukan sebagai pembuat keputusan di peringkat lebih tinggi.

Pada 30 Mei lalu, tiga Adun dari KEADILAN yang kesemuanya adalah wanita mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Kerajaan Negeri daripada senarai 10 Exco.

Mereka ialah Elizabeth Wong ( Adun Bukit Lanjan) sebagai Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar; Dr Daroyah Alwi (Sementa) sebagai Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi; serta Rodziah Ismail (Batu Tiga) sebagai Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Tiada ulasan: