HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Julai 2013

DAP selar Pemuda Umno isu 'The New Village'


MALAYSIA KINI


 
Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini melancarkan serangan balas ke atas Pemuda Umno atas kritikan ke atas filem kontroversi The New Village yang didakwa menghasut masyarakat untuk mengagungkan komunis.

Walhal, Pemuda Umno sendiri menjalin hubungan dengan Parti Komunis, kata Lim.

The New VillageKatanya pergerakan parti itu hanya berdiam diri apabila menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin pada 12 Oktober 2012 mengumumkan untuk membentuk kerjasama antara Pemuda BN dan Liga Pemuda Komunis China (CYL).

Khairy bertindak demikian dalam kapasiti sebagai ketua Pemuda BN.

“Jelas bahawa kedua-dua Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia adalah hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan CYL.

“Khairy Jamaluddin menyebut bahawa sekretariat tetap itu akan menjadi pemudahcara program dua hala berterusan bagi menggalakkan pertalian yang lebih utuh antara kedua-dua pihak.

"Ini bukannya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hubungan terus antara parti politik dengan parti politik. Begitu pun tidak ada tindakan diambil apabil Khairy secara sedar dan niat yang jelas mewujudkan hubungan langsung dengan CYL melalui sebuah sekretariat,” katanya.

Lim berkata demikian dengan merujuk kenyataan anggota exco Pemuda Umno Lokman Adam bahawa filem The New Village itu secara tersirat mengagungkan Parti Komunis Malaya.

Lokman juga mendakwa filem tersebut menggambarkan Rejimen Askar Melayu dan polis yang berkhidmat dengan British sebagai “musuh dan orang jahat yang perlu dihapuskan," katanya.

Lim seterusnya berkata, Umno dan Utusan Malaysia tidak menyatakan penentangan apabila Malaysia menjalin hubungan dengan negara komunis seperti China, Cuba dan Vietnam.

Lim juga berkata, kedua—duanya juga tidak pernah mengkritik bekas ketua polis negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor kerana menandatangani perjanjian damai bagi pihak Malaysia dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989.

Jika kedua-dua Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO masih risau dengan komunis yang masih bersembunyi, maka kedua-duanya tidak perlu pergi jauh malah patut memberi perhatian kepada Khairy Jamaluddin dan Pemuda BN kerana mewujudkan hubungan terus dengan CYL,” katanya.

Tiada ulasan: