HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Julai 2013

Jakim pantau pergerakan Syiah

FREE MALAYSIA TODAY
 
Setakat ini tiada bilangan spesifik pengikut fahaman itu memandangkan jumlahnya meningkat setiap hari. 



KOTA BAHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih memantau pergerakan Syiah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri memandangkan jumlah pengikut fahaman itu berbeza mengikut negeri.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata setakat ini tiada bilangan spesifik pengikut fahaman itu memandangkan jumlahnya meningkat setiap hari.

“Jabatan Agama Islam Negeri juga menjalankan pemantauan bagi membantu kita (Jakim) mengesan kelompok mana yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Saudara Muslim Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli, Kok Lanas di sini, malam tadi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan fahaman Syiah di negara ini tanpa mengira status atau fahaman politik mereka.

Jamil Khir dilaporkan berkata apabila bercakap tentang Syiah, anggotanya amat sukar dikesan kerana golongan itu selalunya menyembunyikan identiti dan sering berbohong bagi mengelakkan diri mereka dikesan menganuti fahaman itu.

Sementara itu, pada majlis itu, 36 orang Asli telah diIslamkan dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Othman berkata Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Pendaftar Mualaf bagi seluruh negara.

“Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan bagi membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan saudara muslim serta kebajikan mereka, ” katanya.

Beliau berkata Jakim sedang merancang untuk membangunkan satu sistem yang dinamakan e-Mualaf bagi mengumpulkan semua maklumat berkaitan saudara muslim dalam satu capaian mudah untuk diakses.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Pengerusi Islamik Outreach Kelantan Datuk Dr Abdul Razak Kechik.

Warta anti-Syiah

Sementara itu di KUANTAN, Pahang akan mewartakan fatwa pengharaman ajaran Syiah bagi mengelak ia daripada terus mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pewartaan itu selaras dengan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini yang telah diumumkan beberapa tahun lepas.

“Perlu kita wartakan (fatwa pengharaman ajaran Syiah). Bagi negeri Pahang kita dah lama haramkan ajaran ini sebab kita amalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia perlu dikekalkan.

“Ini kerana ajaran Syiah adalah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita tak mahu ada pihak yang kelirukan dan pesongkan akidah umat Islam dengan ajaran ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di sini, semalam.

Baginda mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah yang bakal mewartakan fatwa anti-Syiah seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada Khamis lepas.

Baginda bertitah ajaran itu tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini kerana ia memberikan kesan buruk kepada umat Islam di negara-negara lain yang mengamalkan ajaran itu.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, baginda bertitah program berkenaan telah dijalankan sejak 17 tahun lalu dan perlu diteruskan bagi melahirkan pelapis qari dan qariah dari negeri ini.

“Kita mahu ia diteruskan agar pelapis qari dan qariah ini dapat dilahirkan dan mewakili negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan.

“Selain itu ia wajar dijadikan platform kepada umat Islam di negeri ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan Islam dan bacaan Al-Quran khususnya kepada sesiapa yang ingin menjadi imam,” titah baginda.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan anakanda, Tengku Hasanal Tengku Abdullah.
- Bernama

Tiada ulasan: