Tindakan pilih kasih agensi penguatkuasa dalam menangani isu tertentu,
menyebabkan pengguna internet keliru di negara ini terhadap polisi
kerajaan, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu, berkata ia berikutan kerajaan cepat
apabila membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tapi lambat apabila
berdepan kes pemimpin Barisan Nasional (BN).
Katanya, rakyat keliru akibat sikap pilih kasih yang semakin ketara
dalam soal sensitiviti kaum lantaran pantas bertindak terhadap pihak
yang mencemuh Melayu dan Islam tapi tidak pada yang mencemuh agama lain.
"Ini mendorong rakyat kepada penggunaan internet yang tinggi untuk
menyebarkan maklumat yang lebih adil dan saksama,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Apabila rakyat tidak berasakan kerajaan berlaku adil, Tuan Ibrahim
berkata, timbul pelbagai tanggapan sehingga wujudnya tohmahan terhadap
kerajaan di internet.
Beliau juga menyifatkan perbuatan kerajaan menyalahkan internet sangat
dangkal kerana rakyat perlu dididik menggunakan internet, bukannya
mengawal akses itu.
Minggu lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menegaskan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bukan undang-undang tunggal
bagi memantau salah guna perkhidmatan internet di Malaysia.
Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari, berkata kesalahan itu boleh
dirujuk mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Jenayah
Komputer 1957 dan Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
bekerjasama dengan polis bagi memantau kandungan laman sosial dan
mengingatkan, kerajaan tidak memandang remeh isu berkenaan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan