HALAMAN SANTAI
Selasa, 30 Julai 2013
Belanjawan Sukan SEA 2017 dijangka RM116 juta
Datuk M Saravanan
SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kertas cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 akan dibawa kepada kabinet bulan depan untuk kelulusan kerajaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk M. Saravanan berkata kertas cadangan itu turut memuatkan aspek belanjawan temasya itu yang dijangka menelan belanja RM116 juta.
"Mengikut giliran, Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2019 tetapi oleh kerana Brunei belum bersedia menjadi tuan rumah dan hanya akan melakukannya pada 2019, maka Malaysia ditawarkan untuk melaksanakannya," katanya menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Baharudin bertanya tentang peruntukan menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017 dan persediaan kerajaan dan kementerian dari segi persiapan atlet dan insfrastruktur bagi memastikan Malaysia muncul penganjur terbaik dan juara keseluruhan.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata kelulusan penganjuran itu bergantung kepada faktor kewangan kerajaan, prestasi atlet dan insfrastruktur bagi memastikan acara itu berjalan lancar.
"Dari segi prestasi atlet, kita akan memastikannya dengan mempertandingkan senarai sukan yang memberi kelebihan dan milikan atlet terbaik negara seperti boling padang, berbasikal, karate, silat, skuasy dan tenpin boling.
"Kita juga mahu memastikan temasya ini menjadi medan penyediaan atlet kita dan negara Asean lain untuk menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan