HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Julai 2013

Kunan: Gabungan bukti PERKASA tak perkauman



 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, gabungan PERKASA  bersama dua NGO kaum Cina dan India membuktikan bahawa persepsi terhadap persatuan pendesak Melayu itu sebuah NGO perkauman, adalah tidak benar.

Beliau berkata, walaupun pelbagai persepsi terhadap PERKASA, gabungan bersama Persatuan Amal dan Kebajikan India Baru (Perinbam) serta Persatuan Cina Era Baru Malaysia (Percisma) itu menunjukkan PERKASA terbuka untuk bergabung dengan NGO bukan Melayu.

"Macam-macam persepsi dilemparkan oleh pembangkang. (Gabungan) ini sebenarnya semangat Malaysia. Tak ada masalah untuk mereka bergabung dengan NGO Cina dan India," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, selaku bekas pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan juga berkata beliau akan memastikan bahawa parti itu akan berjaya menawan Kuala Lumpur seperti pilihan raya umum 2004.

Katanya yang juga Ketua Umno bahagian Putrajaya, beliau akan merangka kerja bagaimana untuk menawan kembali kawasan-kawasan seperti Segambut, Batu, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Wangsa Maju.

"BN Wilayah Persekutuan tegas untuk pastikan apa yang tercapai pada 2004 akan kembali semula pada BN. Dulu kita menang empat daripada 11 kawasan, sekarang dua.

"Saya nak pertingkatkan dan merancang bagaimana gerak kerja untuk ambil balik kawasan tersebut," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: