Ketika memberi amaran itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perbuatan yang dilakukan pihak tertentu termasuk ahli politik menerusi laman sosial tersebut hanya memburukkan lagi keadaan selain menyukarkan siasatan polis.
"Kami sentiasa memantau rapat penulisan mereka di laman-laman sosial ini yang mengandaikan pihak polis terlibat dalam kes ini. Janganlah mudah tuduh polis begitu dan jangan racuni fikiran rakyat untuk benci polis.
"Kita tak pernah lindungi anggota kita. Biarlah kami jalankan siasatan dahulu, kami akan dedahkan keputusannya kelak," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan 5,400 bungkusan kuih raya kepada anggota dan pegawai polis yang bertugas pada Aidilfitri di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian 4.30 petang kelmarin di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan, Sri Sanjeevan, 29, yang juga Pengerusi MyWatch cedera di perut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin keretanya untuk merokok.
Mengulas lanjut, Khalid berkata polis sedang menunggu untuk mengambil keterangan Sri Sanjeevan berhubung dakwaannya menerusi laman Twitter bahawa ada anggota pasukan penguat kuasa memberi arahan supaya dia ditembak.
"Kita nak tanya siapa anggota penguat kuasa itu yang beri arahan supaya menembaknya.
"Namun, apa-apa pun kita kena tunggu sehingga Sri Sanjeevan benar-benar sembuh dan dapat beri keterangan pada kita segera," katanya menambah polis juga sedang menyiasat satu akaun Twitter yang mendakwa perkara serupa.
Ditanya sama ada polis akan memanggil Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli yang mendakwa Sri Sanjeevan memiliki senarai polis yang disiasat secara dalaman, Khalid berkata: "Kita sedang kaji keperluan untuk memanggil dia memberi keterangan."
"Sri Sanjeevan pernah dakwa polis di Melaka dan Negeri Sembilan dibayar sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 bagi mendapatkan maklumat berhubung operasi polis kepada sindiket pengedaran dadah, tetapi sehingga kini dia tak kemukakan apa-apa.
"Bagaimana kita nak siasat sama ada perkara itu benar atau tidak? Jangan setakat cakap sahaja, beri keterangan pada kita dan saya jamin, kita akan ambil tindakan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan