HALAMAN SANTAI
Rabu, 31 Julai 2013
Individu sambut Aidilfitri dengan anjing nafi hina Islam
Individu melakonkan watak menyambut Hari raya Aidilfitri bersama tiga ekor anjing yang menjadi perhatian di laman sosial menafikan beliau menghina Islam, sebaliknya menegaskan video yang dimuat naik itu adalah dirinya dan ia kini dikaitkan dengan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.
Maznah Mohd Yusof, 38, berkata berdasarkan pengetahuannya, Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada membela atau menjaga anjing.
"Video ini dibuat tiga tahun lalu, kenapa jadikannya sebagai isu sekarang?
"Saya percaya ini berkaitan dengan kes blogger Alvin Tan dan Vivian Lee kerana pada awalnya, mereka yang menonton video itu menyangka saya orang Cina,” katanya merujuk kepada pasangan blogger seks yang ditahan sebelum ini kerana memuat naik gambar menikmati hidangan "bak kut teh" dengan ucapan selamat berbuka puasa.
Maznah, yang dikenali sebagai Chetz, berkata beliau membersihkan dirinya dan anjing berkenaan dalam video berkenaan kerana agama Islam menganjurkan kebersihan.
Ekoran isu berkenaan, jirannya yang sebelum ini tiada masalah dengannya kerana membela anjing kini mula rasa tidak puas hati.
Malah, imam berhampiran kediamannya turut memarahi dirinya dengan penyebaran video itu.
“Sebagai seorang pemimpin agama, tidakkah dia tahu mengenai undang-undang Islam? Sepanjang pengetahuan saya, agama saya tidak menghalang saya daripada membela atau menjaga anjing,” katanya dipetik portal Malaysiakini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan menggambil tindakan terhadap penyebaran video yang dikatakan menghina Islam bertajuk '1 Hari Di Hari Raya' yang disiarkan dalam laman YouTube.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM diarah menyegerakan siasatan terhadap pemilik video yang dianggap boleh mengganggu sensitiviti Islam itu.
Video itu menunjukkan seorang individu membawa tiga anjingnya bersiar-siar berhampiran perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.
Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan individu itu memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan