HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Julai 2013

Warga asing sebar fahaman agama berbeza

 
Kebanjiran warga asing secara tidak langsung turut membawa fahaman sendiri dari negara masing-masing.



KUCHING: Fahaman agama dari luar perlu dipantau setiap masa untuk mengelakkan golongan belia terikut-ikut dan membelakangi mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, kebanjiran warga asing sama ada untuk mencari ilmu atau pekerjaan dewasa ini secara tidak langsung turut membawa fahaman sendiri dari negara masing-masing dan mengamalkannya di negara ini.

“Mereka yang datang ke negara ini pasti akan membawa mazhab atau fahaman yang berbeza untuk disebarkan kepada rakyat kita.

“Sehubungan itu, jawatankuasa masjid dan surau perlu memainkan peranan memantau aktiviti pihak yang berkenaan untuk mengelakkan fahaman tersebut tersebar meluas dan meracuni pemikiran anak muda kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengagihan Sumbangan Ramadan untuk Masjid dan Surau Kawasan Samariang dan Satok semalam.

Fadillah menegaskan tanggungjawab institusi keagamaan yang bukan sahaja bertujuan mengadakan kelas agama tetapi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada mereka yang bukan Islam berhubung keindahan agama berkenaan.

“Isu yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh kurangnya pendedahan terhadap agama Islam dan salah faham yang meruncing antara kaum apabila tiada persefahaman berjaya dicapai.

“Kita mahu institusi keagamaan mengambil langkah proaktif untuk menjelaskan kepada agama lain bahawa Islam itu mementingkan kedamaian dan toleransi antara sesama manusia,” tegasnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 10 orang wakil daripada 10 surau di kawasan N.8 Satok menerima sumbangan bernilai RM1,000 bagi kegunaan aktiviti sepanjang tahun institusi keagamaan berkenaan.

Perkahwinan adat 

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti punca wujudnya rakyat tanpa status kenegaraan (statusless) yang berlaku di negara ini, terutama di kawasan penempatan berhampiran sempadan.

“Ini adalah hasil dari perkahwinan secara adat yang lazimnya tidak didaftarkan,” kata Timbalan Menteri KDN, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, kementeriannya akan melaksanakan program dalam masa terdekat untuk menjejaki individu yang sedemikian di negeri ini.

“Namun bilangan kes anak-anak yang tanpa status kenegaraan di Sarawak tidak serius berbanding di negeri Sabah.

“Tetapi, sekiranya, salah seorang daripada ibu bapanya, bukan warganegara Malaysia dan perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan JPN, dan anak yang lahir juga tidak didaftarkan dengan JPN, anak tersebut dikategorikan sebagai tanpa status kenegaraan,” tegasnya.

Kata Junaidi, meskipun maklumat kelahiran anak tersebut direkodkan oleh pihak hospital, namun maklumat tersebut tidak dihubungkan dengan JPN dan tambahan pula, perkahwinan adat berkenaan tidak didaftarkan.

“Sekarang, saya telah mewujudkan satu program yang mempunyai sambungan terus dengan hospital atau klinik kepada pihak JPN,” ujarnya sambil memberitahu mekanisme pelaksanaannya masih dibincangkan.
Dalam pada itu, program baharu berkenaan akan dilaksanakan di seluruh negara dan ia akan dilancarkan di negeri ini dalam masa terdekat.

Justeru, beliau menggesa agar ketua-ketua masyarakat dikawasan penempatan berdekatan sempadan untuk mendaftarkan perkahwinan adat anak-anak buahnya dengan JPN.

“Meskipun, perkahwinan adat ini diiktiraf oleh kerajaan Malaysia tetapi, ia harus dilaporkan dan didaftarkan dengan JPN, baru status perkahwinan tersebut sah dari segi undang-undang negara,” tegasnya.

Garisan sempadan 


Sementara itu, masalah pertindihan garisan persempadanan antara Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan Barat, Indonesia bukan lagi menjadi isu hari ini, kerana penanda sempadan telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Menurutnya, penanda sempadan antara kedua-dua negara bukan sahaja ditanda menggunakan cara fizikal tetapi dimuat rekod dalam Sistem Kedudukan Global (GPS) antarabangsa.

“Dari Tanjung Datu sehingga ke Miri-Limbang (Sarawak), semua kawasan sempadan dengan Indonesia telah dimuktamadkan.

“Cuma isu pertindihan itu tersebar luas suatu ketika dahulu apabila terdapat parti politik di Indonesia cuba menimbulkan isu pertindihan sempadan untuk dijadikan topik kempen politik pilihan raya di republik itu,” ujarnya.

Junaidi berkata, penanda GPS itu disimpan oleh Sarawak dan Kalimantan, Indonesia dan sekiranya, ada pihak yang mengalihkan batu sempadan (penanda), penanda GPS tidak boleh diubah kerana kedua-dua pihak menyimpan rekod petanda GPS berkenaan.

Tiada ulasan: