Rakyat sudah menolak Wan Ahmad Nizam di DUN
Chukai maka sudah sampai masanya beliau melepaskan jawatan Naib Ketua
Umno Bahagian Kemaman
Fokus pertandingan umno bahagian
CHUKAI: Pertandingan Umno Bahagian Kemaman pada 5 Oktober ini nampaknya hanya bertumpu kepada perebutan jawatan Naib Ketua Umno Bahagian sahaja.
Jawatan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek nampaknya tidak akan ditentang.
Pada tahun 2008, bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian, Mat Dalam Awang pernah berhasrat untuk menentang Ahmad Shabery tetapi Mat Dalam tidak dapat pencalon yang cukup. Beliau memerlukan 15 pencalonan tetapi hanya dapat lapan pencalonan sahaja. Justru itu Ahmad Shabery menang tanpa bertanding pada tahun tersebut.
Kali ini Mat Dalam sudah tidak berminat lagi untuk mencabar kedudukan Ahmad Shabery. Kecuali beliau dapat jadi calon BN di DUN Air Putih pada 5 Mei lalu, mungkin dia berubah fikiran.
Ahmad Shabery adalah satu-satunya menteri Umno di negara ini yang tidak pegang jawatan Ketua Bahagian.Beliau senasib dengan bekas Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Othman yang tidak pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abu Bakar Daud tidak pernah memberi laluan kepada Manan untuk mengetuai Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Kecuali Ahmad Said tidak jadi Menteri Besar, barulah Ahmad Shabery selaku menteri pusat berani merebut kerusi nombor satu itu. Sebaliknya bila Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar, maka Ahmad Shabery tidak berani memcabar Ahmad Said.
Pertandingan Naib Ketua Umno Bahagian mungkin menjadi pertandingan pusingan kedua di antara Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan Datuk Md Rahim Husin (gambar). Pada tahun 2000, Rahim menangi jawatan tersebut mengalahkan Shahbudin Maidin. Pada tahun 2004, beliau menang tanpa bertanding buat penggal kedua.
Pada tahun 2008, Rahim dicabar oleh Wan Ahmad Nizam yang baru habis jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman. Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menang dengan majoriti yang kecil.
Kononnya ada penipuan dalam pengiraan undi apabila banyak kertas undi yang memangkah Rahim ditemui di luar pusat mengira undi.
Majlis Tertinggu Umno dikatakan mengarahkan Umno Bahagian Kemaman bersidang semula tetapi Badan Perhubungan Umno dikatakan tidak setuju pemilihan diadakan semula. Maka Wan Ahmad Nizam disahkan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman yang baru.
Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Wan Ahmad Nizam yang dipilih sebagai calon BN di DUN Chukai tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala Wan Ahmad Nizam mendapat 10,011 undi.
Wan Ahmad Nizam yang pernah menjadi ADUN Air Putih selama sepenggal (2004-2008) dikatakan lebih berminat bertanding di DUN Air Putih tetapi ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar enggan berpindah ke DUN Chukai walaupun DUN Chukai pernah diwakili ayahnya, Wan Mokhtar Wan Ahmad selama 25 tahun (1974-1999).
Wan Hakim bijak berpolitik. Jika dia bertanding di DUN Chukai sudah tentu dia akan tewas seperti Wan Ahmad Nizam. Wan Ahmad Nizam jadi mangsa dan beliau kalah teruk di kerusi tersebut.
Goyang
Kekalahan ini menyebabkan kerusi Naib Ketua Umno Bahagian yang disandangnya goyang. Menurut sumber, Rahim akan merebut semula kerusi itu dengan hujah bahawa rakyat sudah menolak Wan Ahmad Nizam sebagai calon BN di Chukai maka sudah sampai masanya bagi beliau menarik diri dari jawatan Naib Ketua Bahagian.
Wan Ahmad Nizam tidak semudah itu untuk berundur. Maka pertandingan pusingan kedua di antara Wan Ahmad Nizam-Rahim mungkin tidak dapat dielakkan. Rahim yang juga seorang ahli perniagaan adalah seorang pemimpin yang pemurah dan beliau mempunyai ramai pengikut yang setia.
Walaupun beliau bukan seorang wakil rakyat, beliau menjadi tempat mengadu ahli Umno Kemaman yang datang ke Kuala Lumpur. Maka orang seperti beliau perlu mendapat tempat dalam Umno Bahagian Kemaman.
Beliau pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kemaman pada tahun 1993 menentang ADUN Kijal, Ahmad Said tetapi dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini, sudah tentu Rahim tidak berani bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian.
Maka jawatan yang paling sesuai buat beliau ialah Naib Ketua Bahagian. Terpulanglah kepada para perwakilan Umno Bahagian Kemaman untuk memilih sama ada Wan Ahmad Nizam atau Rahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan