MALAYSIA KINI
Ketua
polis negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata pengerusi MyWatch R
Sri Sanjeevan, yang ditembak dalam satu kejadian Sabtu lalu, tidak
membuat laporan polis berhubung ugutan ke atasnya.Osman berkata pasukan polis bagaimanapun tetap menyiasat laporan Sanjeevan yang dibuat pada Januari lalu berhubung ugutan yang didakwa diterima individu tersebut dari seorang pegawai polis di Jelebu.
“Sanjeevan ada menyatakan di media sosial kira-kira 12 jam sebelum tembakan tersebut berhubung ugutan ke atasnya dan keluarganya.
"Bagaimanapun, beliau tidak membuat laporan," kata Osman seperti dipetik dalam laporan The Star.
Katanya, kes berkenaan kemudiannya dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan kes tersebut kemudiannya tidak dikenakan tindakan lanjut.
"Masalahnya, berbeza dengan kes Jelebu, Sanjeevan tidak khusus dalam dakwaannya," kata Osman.
Menurut laporan media hari ini, Osman juga berkata, kes tembakan itu mungkin bermotifkan dendam.
Satu pasukan khas diketuai pengarah jabatan siasatan jenayah polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah ditugaskan untuk menjalankan siasatan, katanya.
Pasukan tersebut sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian tembakan berkenaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh, kata Osman lagi.
Hanya beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitter bahawa seorang anggota polis telah mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.
Sanjeevan ditembak oleh dua penunggang motosikal semasa dia sedang memandu, di satu persimpangan jalan di Bahau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan