Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menarik balik dan mengharamkan
serta-merta bahan bercetak seperti buku atau novel yang terbukti karya
penulis berfahaman Syiah, cadang seorang Ahli Dewan Negara.
Senator Datuk Noriah Mahat berkata, KDN juga perlu mengambil tindakan
keras terhadap individu terbabit agar hasil tulisan mereka tidak terus
berada di pasaran kerana bimbang merosakkan pemahaman masyarakat Islam.
"Jika tidak dikawal, saya khuatir golongan muda terpengaruh dengan
hasil tulisan mereka yang berfahaman Syiah kerana golongan muda kita
lihat mudah terpengaruh akibat rasa ingin tahu.
"Karya seperti ini perlu disekat dan diharamkan demi menjaga kefahaman
umat Islam agar tidak terus longgar sehingga meringankan ibadat, Rukun
Islam dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang
Perbekalan Tambahan (2012) 2013 pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Noriah juga menyokong segala usaha KDN dalam memerangi kegiatan Syiah
di negara ini kerana kerajaan telahpun mengharamkan Pertubuhan Syiah
Malaysia berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, tindakan itu tepat pada masanya memandangkan pengaruh syiah
semakin berkembang dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat
Islam.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah depoh tahanan
bagi menampung pertambahan pendatang tanpa izin yang ditangkap sebelum
dihantar ke negara asal mereka.
"Memandangkan jumlah pendatang tanpa izin yang ada sekarang mencecah
angka 1.3 juta (setakat Ogos 2012), sudah pasti gerakan menangkap
memerlukan pertambahan depoh tahanan untuk mengelak kesesakan," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi
mengatasi isu pendatang tanpa izin kerana golongan berkenaan menimbulkan
pelbagai masalah sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan
kesejahteraan negara. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan