ULASAN Tiga kes tembakan berlaku semalam, termasuk pembunuhan Hussain Ahmad Najadi, pengasas Bank Pembangunan Arab-Malaysian di tengah-tengah Kuala Lumpur pada waktu siang hari.

Ia membuktikan bahawa jenayah yang semakin meningkat bukan lagi persepsi tetapi bukti kegagalan polis dan keperluan mendesak untuk keluar dari obsesi terhadap musuh politik BN.

Dua kes tembakan lain menyebabkan seorang terbunuh di Ipoh dan cedera di Bukit Mertajam.
Sebelum ini polis menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang membenarkan banyak samseng dibebaskan sehingga dikatakan berlakunya peningkatan jenayah bunuh kalangan samseng.

Pihak polis tidak lagi boleh menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat terhadap pembunuhan Hussain kerana beliau bukan penjenayah, tetapi seorang tokoh bank antarabangsa yang dihormati.

Kes pembunuhan terbaru ini mengejutkan rakyat Malaysia yang menyedari betapa serius kegagalan kerajaan persekutuan untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan awam, terutamanya kes tembakan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, di Bahau Sabtu lalu - yang di siang hari.

Kes tembakan terhadap R Sri Sanjeevan ini pula dikaitkan hubungan polis dengan kongsi gelap, yang menyebabkan kredibiliti dan integriti pihak polis merosot teruk.

Sudah tiba masa untuk kerajaan persekutuan membenarkan polis memberi tumpuan kepada matlamat terasnya membanteras jenayah dan tidak boleh lagi dipergunakan sebagai alat politik BN.

Berapa polis di Cawangan Khas?


Statistik tidak pernah berdusta dan dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching bulan ini, menteri dalam negeri berkata:

"Sejumlah 112,583 anggota polis berpakaian seragam, 10,150 (9 peratus) berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah, 4,224 (3.8 peratus) dalam Siasatan Jenayah Narkotik dan 1,663 (1.4 peratus) di Jabatan Siasatan Komersial."

Menteri dalam negeri enggan menyatakan berapa ramai anggota polis yang berada di Cawangan Khas.
Hanya 9 peratus daripada anggota polis yang terlibat secara langsung membanteras jenayah di luar sana dan kenyataan ini tidak boleh diterima.

Malah jika kita sertakan sekali Narkotik dan Jenayah Komersial, hanya 14.2 peratus daripada keseluruhan pasukan polis memberi tumpuan kepada membanteras jenayah di jalanan.

Angka ini jelas terlalu rendah.

Bilangan anggota polis yang terlibat dalam membanteras jenayah tidak harus 14.2 peratus tetapi sekurang-kurangnya 50 peratus.

Dalam erti kata lain perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota polis berpakaian seragam berkawal di tempat awam dan bukan 16,037 orang sahaja.

Tenaga manusia & teknologi CCTV

Walaupun Pulau Pinang kekal sebagai salah sebuah negeri yang paling selamat di Malaysia, kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat dengan pasukan polis untuk memastikannya kekal selamat.

Selain daripada penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) untuk menjalankan kawalan komuniti di taman perumahan, rumah pangsa dan kampung, kerajaan negeri secara aktif memasang CCTV untuk menggabungkan tenaga kerja manusia dengan teknologi.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengarahkan, menjelang akhir tahun ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memasang 70 dan 55 CCTV tambahan di kawasan masing-masing.

Ini adalah tambahan kepada 60 CCTV di MPPP dan 44 CCTV di MPSP sedia ada. Tambahan 125 CCTV ini akan menelan kos tambahan sebanyak RM3 juta.

Bagi mengatasi masalah kekurangan anggota polis bagi memantau 24 jam CCTV yang bertambah, kerajaan negeri menawarkan mengambil kakitangan atas perbelanjaan sendiri bagi melakukan tugas pemantauan.

Ini akan membolehkan anggota beruniform melaksanakan tugas-tugas teras mereka, meronda jalan raya untuk memastikan keselamatan orang awam daripada jenayah.

Penekanan utama harus diberikan kepada kerajaan Persekutuan bagi menumpukan semula pasukan polis dalam membanteras jenayah dan bukannya berurusan dengan musuh-musuh politik BN, dengan meningkatkan anggota polis memerangi jenayah daripada 14.2 peratus pada masa kini kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.

(*) LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang.