ALOR GAJAH - Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan semua anggota Umno yang ingin bertanding jawatan di peringkat bahagian mahupun tertinggi parti itu agar berbuat demikian atas dasar ingin memperkukuh parti.
 
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata anggota Umno tidak sepatutnya menggunakan alasan demokrasi untuk bertanding walhal kehadiran mereka hanya melemah dan memecah-belah parti.
 
"Sekiranya pertandingan itu sihat dan mampu membuahkan sesuatu yang positif untuk Umno, silakan bertanding, bagus begitu malah kita alu-alukan pertandingan itu atas dasar demokrasi sebenar dalam Umno yang telah lama kita pegang.
 
"Tetapi kalau bertanding atas kepentingan diri, bukan perjuangan parti, itu salah dan akan mengundang perbalahan yang kita telah alami pada masa lepas. Maka kita perlu belajar dan ambil iktibar," katanya kepada pemberita pada majlis Berbuka Puasa Mara di MRSM Alor Gajah hari ini.
 
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa. Majlis itu turut dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada pelajar MRSM Alor Gajah dan anak yatim sekitar Melaka.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno, mengumumkan bahawa tarikh pemilihan jawatan Majlis Tertinggi parti itu akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Okt.
 
Lebih 150,000 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini berbanding hanya 2,500 sebelum ini.
 
Pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pula akan dilakukan secara berasingan pada 28 Sept, dan Perhimpunan Agung berlangsung dari 2 hingga 7 Dis.
 
Mohd Shafie turut mengnigatkan semua anggota Umno agar memilih pemimpin yang mampu membawa parti ke depan bagi membela nasib rakyat.
 
"Gandingan Presiden Umno (Najib) dan Timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) merupakan gandingan pemimpin yang telah membawa banyak pembaharuan kepada Umno dan negara.
 
"Pemimpin seperti inilah yang perlu dipilih untuk memastikan kesinambungan membela nasib rakyat," katanya. - Bernama