HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2013

PAS: Isu Syiah timbul untuk tutup kes jenayah



 
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa kerajaan sengaja menimbulkan isu Syiah bagi menutup masalah sebenar yang melanda negara ini seperti jenayah serius dan peningkatan harga barangan.

"Kerajaan sepatutnya mengambil berat tentang isu keselamatan negara yang semakin serius serta peningkatan harga barangan, bukan jadikan isu Syiah ini yang sebenarnya tak berbangkit,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, setiap negeri juga mempunyai peruntukan undang-undang masing-masing yang memadai untuk menangani kes tersebut.

“Kita ada enakmen di negeri-negeri. Dan ada peruntukan enakmen yang akan digunakan. Isu ini sengaja di tumpukan untuk tutup isu-isu lain," katanya yang turut menolak dakwaan mengaitkan Syiah dengan PAS.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS itu, Salahuddin berkata tidak ada pemimpin dalam parti itu yang mengamalkan ajaran tersebut.

"Kita dah keluar kenyataan rasmi. Tidak ada antara kami yang mengamal Syiah. Ini sengaja direka cipta oleh kerajaan," kata Salahuddin.

Dakwaan yang mengaitkan pimpinan PAS dengan fahaman Syiah itu antara lain dibangkitan seorang individu didakwa sebagai aktivis parti tersebut, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

Laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia semalam yang memetik kenyataan Mohamed Hafiz mendakwa perkara itu menular di kalangan ahli PAS dan gagal ditangani oleh pucuk pimpinan parti.

Tiada ulasan: