HALAMAN SANTAI
Selasa, 30 Julai 2013
Pegawai penjara berlapang dada, ‘Aunty Bersih’ belum dipenjara
Pada usia 67 tahun, dia disembur gas pemedih mata, diterajang, ditembak dengan meriam air dan kini dituduh di mahkamah kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Dia berdepan maksimum enam bulan penjara, denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah. Namun pesara guru, Annie Ooi yang lebih dikenali sebagai Makcik Bersih tidak gentar.
Dia “menentang kerajaan” untuk “masa depan yang lebih cerah”, katanya.
Ooi antara 33 yang lain dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur semalam kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram serta menggangu ketenteraman awam.
“Saya tidak takut apa tindakan mereka,” wanita uzur itu memberitahu The Malaysian Insider.
“Ini kali pertama saya di sini dan tidak tahu apa bakal berlaku.”
Dia kelihatan bersendirian biarpun sudah berumah tangga dan mempunyai anak.
Ooi bergiat aktif dalam semua perhimpunan besar yang diadakan di seluruh negara.
Dia menjadi perhatian media apabila Malaysia terpukau dengan gambarnya yang mengenakan baju kuning dan bermandikan tembakan meriam air polis menuju ke barisan hadapan semasa perhimpunan Bersih 2.0.
Kejadian itu disiarkan oleh banyak portal berita.
Namun semalam, Ooi berada di tempat yang luar biasa baginya bila diminta hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Kesalahan dilakukan di hadapan bangunan Parlimen.
“Saya di pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut semasa diberitahu saya perlu hadir ke mahkamah. Surat juga saya tidak terima.”
Dia berkata hadir ke mahkamah membuatnya sedikit berdebar namun dia bersemangat kerana 32 lagi turut dituduh bersama.
“Jka saya tidak dibenar ikat jamin, ia akan menjadi pengalaman untuk saya melihat keadaan penjara,” katanya.
“Melihat keadaan dan bagaimana banduan dilayan pastinya memberi pengalaman kepada saya.
“Jika mereka bertanya, saya hanya boleh memberikan nama, nombor MyKad dan alamat rumah.”
Apabila ditanya mengenai bangsa, dia menjawab “bangsa Malaysia”
“Jika mereka terus bertanya latar belakang saya, bapa saya sudah mati, tolong hormat nama ibu saya dan bukan urusan anda untuk bertanya mengenai suami saya.”
Syukurlah kerana Ooi dibenar ikat jamin dengan bayaran RM2,000 yang dibayar oleh sumbangan orang ramai.
Ooi berkata, beliau tidak akan bermusuh dengan polis melainkan mereka menerajangnya lagi.
“Saya pernah diterajang polis dan bengkak selama seminggu. Saya tak faham macam mana anak muda boleh tahan dipukul berulang kali oleh pihak berkuasa,” katanya sambil menggelengkan kepala.
Dia berkata, ramai orang kini sudah mula memperjuangkan apa yang mereka percaya. Namun baginya hanya ada satu sebab.
“Saya lakukan ini demi masa depan anak-anak kita. Jika anda rasa saya salah, saya sedia ditangkap,” tambahnya lagi.
Dia berkata, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat kuasa dan bertindak seperti sekarang, dia juga akan membangkang.
Ooi yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris lebih dari 30 tahun berkata dia bukan pengikut mana-mana parti.
“Apa yang saya mahu ialah masa depan yang lebih cerah untuk anak kita,” katanya lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan