SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Tidak ada laporan atau kes penyebaran fahaman Syiah oleh penuntut asing yang dikesan di institusi pengajian tinggi di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.
 
Beliau berkata Kementerian Pendidikan menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam memantau penyebaran ajaran Syiah di institusi pendidikan negara.
 
"Orang ramai yang mengetahui mengenai aktiviti penyebaran ajaran Syiah di mana-mana pusat pengajian dicadangkan memberi maklumat secara terperinci," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
 
Kamalanathan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan jika ada laporan dibuat berhubung isu itu.
 
"Kalau ada laporan, kita akan buat siasatan...masalahnya sekarang tidak ada laporan," katanya.

Sehingga Disember 2012, terdapat 26,239 penuntut asing dari 139 negara menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi Malaysia.
  
"Bagi membendung sebarang gejala negatif oleh pelajar asing, Kementerian Pendidikan juga menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa," kata Kamalanathan.
 
Mengenai sekolah aliran agama, beliau berkata terdapat 198 sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat di seluruh negara.
 
Sekolah agama swasta bukan di bawah Kementerian Pendidikan, katanya. - Bernama