PAS hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mendedahkan jumlah lesen senjata api yang telah dikeluarkan setakat ini memandangkan kejadian jenayah menembak dengan tujuan membunuh yang didakwanya semakin berleluasa.

Parti itu turut menggesa polis mencari punca bagaimana senjata api boleh jatuh ke tangan penjenayah, sedangkan kawalan lesen pemilikan senjata adalah 100 peratus bawah kuasa pihak berkuasa itu.

"PDRM harus mengkaji semula aktiviti-aktiviti setiap pemilik lesen senjata api di negara agar tidak disalahgunakan.

"Senarai pemilik-pemilik senjata, jika tiada kekangan undang-undang dan faktor yang mengancam keselamatan negara, juga harus dipamerkan untuk tatapan awam," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengalu-alukan pemburuan polis penjenayah yang cuba membunuh Pengerusi MyWatch dan pembunuh pengasas Arab Malaysian Banking Group Hussain Ahmad Najadi, Tuan Ibrahim juga menegaskan "mengenalpasti punca sebenar senjata api jatuh ke tangan pihak yang bertanggungjawab" juga dianggap "terpenting".

Ini kerana, katanya yang juga pesuruhjaya PAS Pahang, kemelut itu perlu diselesaikan bagi meredakan kebimbangan "yang teramat" oleh rakyat Malaysia.

"Jika kebocoran itu berlaku daripada pemilik lesen yang sah, mereka ini perlu dihukum dengan hukuman yang maksima.

"Jika kebocoran kerana sindiket haram, PAS menyarankan agar PDRM bekerjasama pihak imigresen dan kastam juga mengetatkan pemeriksaan di semua pintu kemasukan dalam negara bagi mengelakkan senjata diseludup masuk," katanya.

Tuan Ibrahim turut menyarankan supaya penguatkuasaan menyeluruh terhadap Akta Senjata 1960 bagi memulihkan kewibawaan polis di mata rakyat.

Malah beliau juga berharap kes tembakan terhadap Sanjeevan dan Ahmad Najadi adalah kes yang terakhir.